Orang ramai telah mengepung kereta pengadu yang tidak sengaja tertekan hon ketika istiadat pengebumian semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kereta tertekan hon semasa upacara pengebumian Pegawai Memerintah Skuadron 503 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Komander Muhammad Firdaus Ramli berhampiran Masjid Jamek Sungai Nibong Besar di Pulau Pinang sehingga menimbulkan kekecohan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, pihaknya menerima aduan berkenaan kejadian itu daripada seorang lelaki berusia  46 tahun yang juga pemandu kereta itu pada tengah malam tadi.

“Kejadian yang berlaku sekitar jam 7.45 malam itu berlaku ketika mangsa nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Allahyarham Muhammad Firdaus dibawa dengan penuh istiadat ke tanah perkuburan Islam berhampiran masjid.

“Pengadu yang sedang memandu kereta di hadapan masjid berkenaan telah terlanggar sebuah motosikal di bahagian kanan kereta,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, tular video di laman media sosial berhubung insiden tersebut yang menyaksikan ramai mendakwa pemandu terbabit tidak sabar dan tidak menghormati urusan pengebumian pegawai TLDM itu.

Menurut Razlam, berikutan itu pengadu berasa panik apabila keretanya mula dikepung orang ramai dan menyebabkan beliau tertekan hon.

Bagaimanapun, tambah beliau, kekecohan tersebut berjaya dileraikan oleh anggota polis dan TLDM yang berada di tempat kejadian dan kereta pengadu mengalami sedikit kerosakan.

“Untuk makluman, semasa kejadian tersebut berlaku, sedang berlangsungnya upacara pengebumian Pegawai memerintah Squadron 503 TLDM di Masjid Jamek Sungai Nibong dan pengadu mengaku bahawa beliau tidak tahu tentang upacara tersebut serta secara tidak sengaja telah tertekan hon,” ujarnya

Kata Razlam, kes akan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana disyaki melibatkan perbuatan khianat. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Tertekan Horn hanya alasan serta tidak tahu ada upacara tersebut pun satu alasan sedangkan ada anggota tentera dan polis yang berkawal bagi melancarkan urusan pengekebumian tersebut.
    Tindakan pemandu tersebut tidak menghormati upacara tersebut amat dikesali serta ia menunjukan bahawa tiada rasa hormat dan sifat prihatin..Ini kesan kalau dibiarkan pendidikan yang tidak berteraskan kebangsaan.

Comments are closed.