Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama tetamu yang hadir pada sesi Townhall bersama Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) ketika di International Convention Centre (PICC), Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 25 APRIL 2024.

PUTRAJAYA – Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baharu yang akan diumumkan kerajaan terdekat adalah antara yang terbaik pernah diperkenalkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia akan membabitkan implikasi kewangan yang tertinggi berbanding sebelum ini.

Menurut beliau, langkah yang diambil dalam memperbaiki pendapatan kakitangan awam adalah kerana mahu mereka memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Sistem persaraan yang akan saya umumkan dalam masa yang singkat walaupun hutang banyak kerajaan tetap memberi perhatian khusus kepada penjawat awam.

“Kakitangan awam bekerja dengan kerajaan, bertugas dengan keadaan langsung. Kita beri tugasan tambahan. Kita lebih keras dalam tindakan.

“Selama 12 tahun tak diberi perhatian, saya jawab dalam Kabinet saya tak ada pilihan, saya nak saudara beri yang terbaik, saya mesti iktiraf dengan beri sistem persaraan yang lebih baik, lebih adil,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada esi Townhall bersama Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) ketika di International Convention Centre (PICC), Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 25 APRIL 2024.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sesi Townhall Lebaran Aidilfitri Persatuan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PPTD) bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan, sistem tersebut tidak akan melindungi kelompok kecil yang tidak memberikan perkhidmatan yang efisien tanpa mengira umur dan tempoh berkhidmat.

“Kita juga harapkan prestasi lebih baik, kerja lebih serius dan ketua jabatan mesti pantau kerana dalam kelompok besar ada yang malas ada prestasi lemah.

“Saya tidak fikir orang yang malas, prestasi yang lemah dalam penjawat awam harus diberi kenaikan pangkat dan sebagainya.

“Segala kemudahan yang diberikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung perlu dikaji semula. Kita beri kemudahan tetapi kita pilih dan nilai prestasi masing-masing,” tegas Anwar.

Sementara itu, Perdana Menteri menggesa penjawat awam mengamalkan kecepatan dan kepesatan dalam pelaksanaan tugas supaya dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan segera.

“Penjawat awam tidak lagi boleh menggunakan cara lama dan perlu menonjolkan prestasi yang cemerlang supaya setiap dasar yang diumumkan berjalan dengan baik.

“Kadang-kadang saya rasa lemas, saya bukan muda lagi sepatutnya saya lebih perlahan tetapi kadang-kadang saya lebih laju daripada yang umur 40-an, macam mana?

“Jadi apabila ada keputusan Jemaah Menteri, disampaikan oleh KSN (Ketua Setiausaha Negara), KSU (Ketua Setiausaha), kalau kita guna cara lama, kita tak mungkin boleh berjaya, inilah sebabnya mengapa saya katakan, kepesatan dan kecepatan, kelulusan itu sangat mendesak,” katanya.

Media melaporkan Perdana Menteri akan mengumumkan cadangan penambahbaikan termasuk usaha meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam pada perhimpunan Hari pekerja awal bulan depan. – MalaysiaGazette