Andrew menunjukkan bil air seorang pengguna berjumlah ratusan ringgit susulan kenaikan tarif air baharu berkuasa kuasa Februari lalu.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang mendesak Kerajaan Negeri dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memberi penjelasan berhubung kadar tarif air baharu yang didakwa membebankan rakyat.

Ketua Biro Aduan Gerakan negeri, Andrew Ooi berkata, ia susulan pihaknya menerima lebih 50 aduan daripada penduduk setempat yang mendakwa kadar bil air mereka meningkat sehingga 150 peratus.

Jelas Andrew, meskipun kenaikan itu membabitkan keputusan Kerajaan Persekutuan namun kos yang ditanggung penduduk negeri ini seolah-olah tidak masuk akal tambahan pula dalam keadaan kos sara hidup tinggi ketika ini.

“Saya sendiri berdepan situasi kenaikan bil air yang tinggi iaitu RM111.40 bagi bil Januari/Februari tahun ini berbanding RM6.60 (November/ Disember) iaitu sebelum kadar tarif baharu berkuat kuasa.

Andrew.

“Sedangkan saya hanya tinggal seorang diri bersama seekor anjing di sebuah rumah teres di Bayan Baru. Tidak cukup itu, pelbagai aduan diutara kepada PBAPP sejak Mac berhubung bil itu dan tiada jawapan sehingga kini namun mereka menghantar bil baharu yang memerlukan saya bayar RM7 berbanding bil asal RM11.40.

“Bayangkan saya buat aduan pun tidak dapat penjelasan apatah rakyat yang tidak tahu saluran untuk bertindak sedemikian dan sekali gus menyebabkan mereka akur membayar bil tersebut meskipun jumlahnya sangat membebankan,” katanya pada sidang media di Pejabat Gerakan negeri di Jalan Macalister di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Andrew turut memcadangkan agar kerajaan negeri mempertimbangkan subsidi kepada golongan B40 bagi mengurangkan beban mereka dalam isu kenaikan tarif air.

“Selain itu, PBAPP juga diminta meminta kadar meter padu iaitu daripada 0-20 ketika ini kepada 0-50 dan seterusnya.

“Saya berharap kerajaan dapat memandang serius isu ini dan mengambil langkah berkesan secepat mungkin bagi mengurangkan kesulitan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette