Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bercakap dalam sidang media di Hospital Kuala Kubu Bharu, di sini hari ini.

HULU SELANGOR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menambah baik fasiliti di Hospital Kuala Kubu Bharu (KKB), di sini, bagi mengurangkan jumlah kesesakkan pesakit di Hospital Selayang.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, antara yang akan dilaksanakan adalah menempatkan doktor pakar pada bulan depan dan naik taraf unit kecemasan, farmasi serta penyediaan kawasan parkir kereta.

Katanya, sejak menempatkan pakar perubatan jabatan am pada Januari lalu, jumlah kehadiran pesakit ke hospital berkenaan semakin meningkat berbanding pra-pandemik sebelum ini.

“Saya juga dapat memerhatikan prestasi kesemua klinik, pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Hospital KKB walaupun bukan pakar tapi hari ini beberapa tindakan dan perancangan yang baik telah mengangkat prestasinya.

“Ini bermaksud sudah ada keinginan dan kepercayaan warga di sini yang mahu ataupun bersedia untuk mendapat rawatan daripada hospital ini. Selalunya kalau hospital tak ada pakar inj, dia punya persepsinya adalah orang tak nak pergi ke hospital itu.

“Antara lainnya dengan menempatkan pakar perubatan kecemasan (ED), tambah pakar perubatan jabatan am sebagai jawatan tetap di sini. Sebelum ini, contohnya pakar Neorologi dari Hospital Selayang akan datang sebulan sekali ke sini begitu juga dengan pakar-pakar yang lain,” katanya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad membuat lawatan kerja di Hospital Kuala Kubu Bharu, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat lawatan kerja di Hospital Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini.

Tambah Dr Dzulkefly, setakat ini tiada keperluan untuk membina hospital baharu di Kuala Kubu Bharu dan apa yag penting ialah memastikan keperluan sumber manusia hospital mencukupi.

“Kita boleh mempunyai banyak hospital tapi jika kapasiti sumber manusianya sekadar 50 peratus tiada guna, dan ini yang menjadi cabaran kepada saya,” jelasnya . – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast