Sebahagian pelancong tempatan menyertai aktiviti pencerapan burung.

KUALA TERENGGANU – Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari (IBPTL) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah memeterai perjanjian dengan Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) pada 16 April lalu.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, jalinan kerjasama ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada penyelidik tetapi juga komuniti tempatan melalui pelbagai program pemindahan ilmu seperti pencerapan burung, pengenalan dan pengecaman kepada spesies burung yang terdapat di kawasan tertentu khususnya Tasik Kenyir.

“UMT telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi merancakkan lagi peningkatan sosio ekonomi di kawasan pedalaman melalui aktiviti pencerapan burung.

“Usaha ini sekaligus dapat merancakkan lagi ekonomi pelancongan, terutamanya untuk pengusaha rumah inap,resort, pengusaha makanan dan produk makanan.

“Kami yakin dengan segala kepakaran dan kelebihan UMT, serta sokongan pihak NGO dapat memberi lebih besar kepada sektor pembangunan dan pelancongan di Tasik Kenyir,” katanya.

Sementara itu, penyelidik UMT, Dr. Siti Norasikin Ismail menganggap kolaborasi itu sebagai satu platform yang baik untuk perkongsian sumber serta kepakaran dalam pelbagai bidang seperti pemeliharaan biodiversiti, pembangunan mampan dan kelestarian alam. – MalaysiaGazette