Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

KUALA LUMPUR – Masyarakat India khasnya warga Kuala Kubu Bharu diseru supaya lebih bijak dan jangan sesekali terkesan dengan kempen hasutan atau fitnah.

Menurut Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, walaupun ada isu-isu tertentu yang masih belum dapat diselesaikan oleh Kerajaan Perpaduan ketika ini sehingga menyebabkan segelintir komuniti India tidak berpuas hati namun itu tidak sepatutnya dijadikan ukuran supaya tidak mengundi calon kerajaan.

Sebaliknya kata Vigneswaran, mengundi calon kerajaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini bagi membuka lebih banyak jalan kepada pihak membantu mereka pada masa depan.

“Saya tahu malah saya sendiri ada dengar ada isu-isu yang belum dapat penyelesaian lagi. Ini juga boleh dijadikan sebagai ‘bahan kempen’ untuk terus menyemai rasa tidak puas hati dalam kalangan pengundi tetapi inilah peluang untuk kita menjadi bijak pilih wakil rakyat.

“Andainya calon Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN) menang pada PRK kali ini melalui sokongan padu masyarakat India di kawasan itu, maka wakil India yang sedia ada dalam kerajaan akan dapat terus berjuang bagi keperluan dan kepentingan khasnya masyarakat ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kata Vigneswaran lagi, walau apapun keputusan PRK kali ini, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan tetap sama dan tidak ada sebarang perubahan.

“Kelebihan inilah yang patut kita gunakan, gunakan peluang kemenangan ini supaya wakil-wakil rakyat India boleh meminta kerajaan menambahkan lagi bantuan, peruntukan dan rancangan pembangunan kepada masyarakat India.

“Andai masyarakat India rasa kerajaan masih tidak tunaikan janji, keputusan untuk mengubah sokongan boleh di ambil pada Pilihan Raya Umum (PRU) kelak. Jangan sekarang buat keputusan terburu-buru,” ujarnya.

Tambah Vigneswaran, kemenangan calon selain PH-BN pada 11 Mei kemungkinan besar akan menjejaskan rancangan kerajaan untuk masyarakat India di Kuala Kubu Bharu.

Bermula hari ini kempen di Kuala Kubu Bharu telah bermula selepas penerimaan empat calon bertanding di Parlimen Hulu Selangor itu, hari mengundi pada 11 Mei ini.

PRK ini diadakan selepas kematian penyandangnya, mendiang Lee Kee Hiong yang memenangi kerusi tersebut sejak 2013. -MalaysiaGazette