Lelaki warga Myanmar mati dibunuh dalam kejadian di asrama pekerja di Sungai Petani, Kedah.

SUNGAI PETANI – Seorang pekerja kilang warga Myanmar maut ditikam rakannya dalam pergaduhan di asrama sebuah kilang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 11.53 malam sebelum sepasukan polis ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan lelaki berusia 23 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri serta berlumuran darah akibat ditikam serta dipukul pada bahagian kepala.

“Selain mangsa, rakannya, 29, yang juga warganegara sama didapati cedera di pinggang dan kepala dipercayai akibat pergaduhan sama.

Pihak polis masih mengesan empat lagi suspek yang terlibat dalam pergaduhan itu bagi membantu siasatan.

“Bagaimanapun, dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim di sini,” katanya.

Menurut Wan Azharuddin, siasatan mendapati punca kejadian disebabkan berlaku perselisihan faham sesama mereka semasa sedang mabuk di asrama pekerja tersebut.

“Susulan itu, polis berjaya memberkas seorang lelaki warga Myanmar berusia 40-an dengan bantuan anjing pengesan.

“Turut ditahan oleh pasukan Operasi Jenayah IPD Kuala Muda dan Unit Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah adalah lima lagi lelaki Myanmar berusia 20-an hingga 50-an.

“Kesemua tangkapan tersebut direman selama seminggu bermula hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Punca pergaduhan dipercayai berlaku perselisihan faham ketika mereka sedang mabuk.

Tambah beliau, polis juga sedang mengesan empat lagi suspek yang dipercayai masih bebas.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Siti Anim Aripin atau IPD Kuala Muda di talian 04 429 9222 bagi membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette