BEHRANG – Pasukan Roboteam dari Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) berjaya mengekalkan kejohanan Ke-17 Federation of International Robot Soccer Association (FIRA) Malaysia Cup 2024 yang telah dianjurkan di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Perak pada 21 hingga 26 April yang lalu.
Pasukan itu telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan selama lima tahun berturut-turut dan tahun ini, mereka berjaya pulang sebanyak 15 pingat iaitu enam pingat emas dan perak dan tiga gangsa sekali gus mengenepikan 27 kumpulan pencabar yang lain.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), keputusan tersebut telah diumumkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud pada majlis penutup program itu.
“Penganjuran FIRA bukan sahaja dapat meningkatkan minat masyarakat khususnya pelajar sekolah terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) tetapi juga memberi peluang mereka untuk mengembangkan daya aktiviti.
“Kejohanan seumpama ini dapat melahirkan graduan TVET yang berkualiti, berkebolehan dan berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi komputer, elektrikal dan mekanikal sekaligus meningkatkan kebolehpasaran graduan.
“Hal ini selari selari dengan hasrat lonjakan 4: Graduan TVET berkualiti di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2025 (Pendidikan Tinggi),” katanya.
Dalam kejohanan itu, sebanyak sembilan kategori telah dipertandingkan iaitu Simurosot, Aibot, HuroCup, MyBot Youth, Robosot, Androsot, Air Drone, Business & Innovation dan Autonomous Car Challenge. – MalaysiaGazette