RIYADH – Sebuah pesawat yang digunakan para pegawai kanan Mossad baru-baru ini mendarat di ibu negara Arab Saudi, Riyadh semalam, lapor rangkaian penyiaran Israel, Makan.
Pesawat tersebut mendarat sehari sebelum Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Anthony Blinken melawat negara berkenaan.
Menurut Makan, pesawat terbabit berlepas dari Lapangan Terbang Ben Gurion semalam dan singgah di Amman, Jordan sebelum menyambung perjalanannya.
Para pegawai kanan Israel yang mungkin berada dalam pesawat tersebut untuk mengadakan perbincangan normalisasi dengan Arab Saudi, menurut rangkaian penyiaran itu.
Bagaimanapun, pesawat milik ahli pernigaan Israel itu dikatakan digunakan para pegawai kanan Mossad dan Shin Bet untuk perjalanan-perjalanan rasmi sejak kebelakangan ini.
Sebelum ini, pesawat peribadi itu turut digunakan para pegawai Israel untuk perbincangan perjanjian pertukaran banduan di Kaherah, Mesir dan Doha, Qatar.
Kira-kira dua minggu lalu, The Wall Street Journal melaporkan pentadbiran Joe Biden cuba memuktamadkan perbincangan diplomatik yang menyasar memberi tekanan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk mengiktiraf negara Palestin sebagai pertukaran kepada hubungan normalisasi dengan Arab Saudi. – Agensi