Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

KLANG – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan ‘kelas terapung’ sebagai langkah untuk menyelesaikan isu 86 sekolah yang mempunyai kadar kepadatan pelajar yang tinggi di negara ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, Sekolah Menegah Kebangsaan Meru merupakan antara sekolah yang mempunyai isu kepadatan tinggi hingga mencecah 4,168 pelajar bagi dua sesi persekolahan.

“Antara langkah diambil termasuk mewujudkan kelas terapung tanpa menjejaskan sama sekali pembelajaran anak-anak kerana sekolah bergerak seperti biasa.

“Kalau lihat hari ini pun perjalanan sekolah sangat tenang, pergerakan murid-murid sangat teratur dari satu ke ke satu kelas

“Keseluruhannya kita ada 86 sekolah padat seluruh Malaysia yang ada kriteria yang telah ditetapkan, manakala murid itu lebih 40 orang satu kelas.

“Ini antara benchmark yang sedang kita lihat dan tekuni di samping dalam jangka masa penggunaan sekolah-sekolah baharu yang kita harap mendapat menyelesaikan isu-isu sekolah padat,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau melakukan pertemuan bersama dan sesi libat urus bersama Jabatan Pendidikan Selangor (JPD), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan tenaga pengajar di SMK Meru berhubung isu kepadatan sekolah yang dibangkitkan dalam sesi Parlimen sebelum ini.

Menurut Fadhlina, bagaimanapun tidak semua 86 sekolah yang mengalami isu kepadatan pelajar boleh melaksanakan kelas terapung kerana it bergantung kepada fasiliti sedia ada.

“Setiap sekolah itu tidak sama keadaannya, ada dinamika masing-masing dan kita lihat dari konteks yang berbeza.

“Kalau ada sekolah yang mempunyai kelas lebih, jadi dia boleh buat kelas terapung, kalau sekolah itu tiada langsung ruang untuk digunakan, jadi kita kena cari jalan lain untuk memastikan pembelajaran anak murid diteruskan.

“Kelas terapung ini boleh dibuat di makmal, bengkel, kelas bahasa atau menggunakan sepenuhnya fasiliti sekolah tetapi boleh diurus dengan baik asalkan ada ruang,” katanya. – MalaysiaGazette