Saifuddin Nasution

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakukan 178 tangkapan dengan nilai rampasan berjumlah lebih RM15 juta sepanjang Op Khas Pagar Laut bermula 12 Mac dan akan berakhir esok.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kejayaan tersebut membuktikan pentingnya pengorbanan anggota Maritim Malaysia pada musim perayaan demi memastikan kedaulatan negara terpelihara.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Maritim Malaysia kerana dalam Ramadan lepas saya sempat meninjau Op Khas Pagar Laut melakukan operasi di Selat Melaka.

“Menyebut kejayaan ini untuk melahirkan keinsafan dan rasa bersyukur kepada kita tatkala menyambut hari raya, balik ke kampung menyambut hari raya, hendaknya ingatan kita sampai kepada mereka yang bertugas mengawal keselamatan maritim kita,” kata Saifuddin.

Dalam ucapan Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Maritim Malaysia hari ini, Saifuddin berkata, Maritim Malaysia juga kini dalam proses meningkatkan perolehan aset bagi meningkatkan keupayaan pasukan tersebut.

Ini termasuk tawaran yang dibuat oleh Amerika Syarikat terhadap dua Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) US Coast Guard dari Amerika Syarikat (AS) untuk diberikan kepada Malaysia.

Menurutnya, Maritim Malaysia telah melihat aset tersebut dan laporan telahpun diserahkan kepada KDN bagi maklum balas.

“Kenapa mereka (AS) melihat Malaysia sebagai satu negara yang ada elemen yang mereka boleh pelajari? Pertama kerana luasnya kawasan laut kita, 590,000 kilometer persegi.

“Kemudian rumitnya ancaman. Kita ada semua jenis jenayah termasuk pencerobohan asing dan pemerdagangan orang. Segala macam.

“Saya telah pun mengarahkan untuk Maritim Malaysia pergi dan lihat. Mereka telah melihat sendiri keupayaan aset berkenaan dan mereka telah melalui proses familiarization. Mereka telah mengemukakan laporan untuk beri maklum balas,” katanya.

Maritim Malaysia juga akan menambahkan empat buat helikopter yang melibatkan perbelanjaan RM600 juta telah pun dimuktamadkan oleh pihak kementerian.

Sementara itu Saifuddin berkata, beliau akan berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Saiful Lizan mengenai 15 peratus kekosongan perjawatan dalam Maritim Malaysia.

Perbincangan itu kemudian akan dibawa kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.

Saifuddin memberi jaminan bahawa keperluan perjawatan Maritim Malaysia akan diberikan keutamaan kerana kerumitan acaman keselamatan terhadap negara dan luasnya sempadan perairan negara. – MalaysiaGazette