Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Ribuan Abdullah (tengah) bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat JDKM, Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Pelbagai jenis barangan bernilai RM350.18 juta dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Ribuan Abdullah berkata, ia merupakan peningkatan sebanyak RM124.3 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Kita buka kertas siasatan sebanyak 1,856 kes melibatkan 385 kenderaan dirampas berjumlah RM27.55 juta dengan cukai dan duti cuba dielak sebanyak RM34.47 juta selain minuman keras RM8.92 juta melibatkan cukai RM32.78 juta.

“Lebih RM10 juta rampasan membabitkan125 juta batang rokok dengan nilai cukai RM93.07, dadah seberat 847.4 kilogram bernilai RM29 juta, tekstil RM3.85 juta dan lain-lain komoditi berjumlah RM83.75 juta,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagi modus operandi penyeludupan kenderaan, Ribuan berkata, kebanyakannya adalah Toyota Vellfire dan Alphard yang dibawa masuk dari negara jiran sebelum dijual pada harga murah.

Dalam masa sama, pihaknya turut membuka siasatan terhadap 22 kes melibatkan penyeludupan barang subsidi seperti minyak masak, petrol dan diesel berjumlah RM323,365 setakat Mac lalu.

Katanya, Sabah merupakan antara negeri yang mencatat perolehan kes tertinggi setakat ini iaitu sebanyak 330 kes diikuti Kelantan (226), Sarawak (231), Johor (191) dan Selangor (151).

Sementara itu, Ribuan berkata, pihaknya akan menempatkan 40 buah mesin pengimbas bagasi yang dilengkapi kecerdasan buatan (AI) di pintu masuk negara, termasuk di kawasan strategik bermula penghujung Mei ini.

“Setakat semalam, kita berjaya membanteras 585.7 kilogram penyeludupan dadah melalui imbasan imej mesin pengimbas. Malah kita dibekalkan 20 ekor anjing pengesan dadah pada Jun ini bagi membanteras aktiviti itu,” ujarnya.

Sementara itu, beliau memberitahu, terdapat peningkatan penyeludupan motosikal jenis Yamaha RXZ di Kelantan dengan menggunakan perahu dan lori melalui Sungai Golok.

Katanya, JKDM tidak menolak kemungkinan permintaan tinggi terhadap motosikal berkenaan sehingga mencecah RM16,000 sebuah yag menyebabkan kegiatan itu meningkat sejak kebelakangan ini. – MalaysiaGazette