Seramai 10 mangsa pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan MHO pulang malam tadi.

KUALA LUMPUR – Seramai 10 rakyat tempatan yang ditahan di Myanmar dan Vietnam sebelum dipaksa menjadi scammer oleh sindiket pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan  Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, ia juga buat julung kali pihaknya berjaya menyelamatkan mangsa rakyat tempatan dari negara Vietnam.

Kata beliau, pihaknya menerima maklumat mangsa-mangsa yang ditahan di Vietnam oleh sindiket pemerdagangan manusia berpusat di bandar Ho Chi Minh.

“Hasil maklumat dan risikan kita bersama agensi kerajaan di sana kita dapat maklumat ‘kepala’ kepada kumpulan sindiket pemerdagangan ini ialah seorang rakyat warga Taiwan yang beroperasi di Vietnam.

“Dua minggu lepas, MHO ada membuat sidang media oleh keluarga seorang mangsa dikenali sebagai Sia yang terperangkap di Vietnam, tidak sampai 12 hari, kita berjaya jejak dan bawa pulangnya kembali ke pangkuan keluarga.

“Sia dapat menghubungi MHO yang bertindak pantas menghantar pasukan ke sana dan melarikannya menerusi jalan rahsia. Dia berlindung di sebuah rumah wakil MHO selama tiga hari atas faktor keselamatan sebelum dibawa menyeberangi sungai sempadan Thailand pada Ahad lalu

“Sia bersama-sama sekumpulan sembilan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa jenayah tersebut dari Vietnam di Terminal 1 KLIA malam tadi. Alhamdulilah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Jaga-jaga, Kemboja kembali aktif memperdagangkan manusia

Kata Hishamuddin lagi, operasi itu tidak mungkin menjadi kenyataan andainya tidak mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuklah kos membawa pulang ditanggung Persatuan Kebajikan Master Chi dari Pulau Pinang.

Untuk makluman, 18 April lalu, MHO mengadakan sidang media yang disertai ibu dan kakak mangsa merayu pembebasan bekas guru berusia 25 tahun itu selepas dia bercuti ke Thailand dengan seorang kenalan universiti sama di Taiwan pada 2 April lalu namun sejurus tiba di negara itu, dia dipengsankan.

10 mangsa yang berjaya pulang selepas menjadi tebusan sindiket pemerdagangan manusia di Vietnam dan Myanmar.

Namun apabila sahaja sedar, mangsa menyedari telah diculik oleh sindiket penipuan atas talian di Myawaddy, Myanmar sebelum berjaya menelefon balik keluarganya di Malaysia selepas itu.

Dalam pada itu, Hishamuddin berharap isu pemerdagangan manusia yang semakin ligat dijalankan dengan menjadikan ramai rakyat Malaysia sebagai sasaran perlu mendapat perhatian serius kerajaan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Kes rakyat Malaysia jadi mangsa pemerdagangan semakin serius

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast