Azman Md Yusof didakwa atas Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH –  Seorang pesawah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menerbitkan penerbitan menghasut yang mengaitkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dengan aktiviti perjudian pada Khamis lalu.

Tertuduh, Azman Md Yusof, 46, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Hakim, Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menerbitkan penerbitan menghasut iaitu “Agong nk (mahu) main judi dekat ckit (sikit)” dalam aplikasi WhatsApp menerusi kumpulan Khariah Pmtg Sungai Dua.

Bapa kepada empat cahaya mata itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah di Kampung Tok Rai, Kepala Batas pukul 8.45 malam pada 25 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Pengarah Pendakwa Raya Negeri, Mohd Nordin Ismail mencadangkan tertuduh diikat jamin RM10,000 susulan kesalahan membabitkan hantaran berbaur hasutan kini semakin berleluasa di media sosial.

“Saya juga mohon mahkamah memerintahkan menyahaktifkan WhatsApp kumpulan Khariah Pmtg Sungai Dua atas faktor menyentuh perkara 3R (agama, raja, kaum).

Bagaimanapun, peguam, Mohd Izad Buqhary Mohd Kamri yang mewakili tertuduh memohon kadar ikat jamin itu dikurangkan.

“Anak guam saya merupakan seorang pesawah yang tidak mempunyai pendapatan tetap malah dia perlu menyara isteri serta empat anaknya berusia lingkungan empat hingga 16 tahun,” katanya.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,500 dengan syarat tambahan diminta Mohd Nordin selain itu, dia juga tidak dibenarkan  memuat naik sebarang hantaran di media sosial sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 20 Mei depan.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan, Malaysia sedang berunding dengan beberapa taikun untuk menubuhkan kasino di Forest City – projek bernilai AS$100 bilion (RM480 bilion) di Johor yang sedang berdepan kemungkinan menjadi gajah putih.

Portal perniagaan itu memetik sumber yang menyebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjumpa dengan pengasas Berjaya Corp Vincent Tan dan Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting dalam satu mesyuarat makan tengah hari minggu lalu bagi membincangkan perkara berkenaan.

Susulan itu, Anwar menegaskan, tiada lesen kasino akan diluluskan kerajaan di Forest City.

Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, laporan Bloomberg yang memetik sumber mengenai pertimbangan untuk lesen itu sebagai tidak betul. – MalaysiaGazette