Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita sarat mengandung melalui detik cemas apabila mengejar suspek yang mencuri beg tangannya di dalam tandas di sebuah pasar raya di Seksyen 23, Shah Alam semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian lebih kurang 10.57 malam daripada mangsa seorang wanita berumur 37 tahun.

Katanya, mangsa yang bekerja sebagai operator kilang itu menyatakan dia telah pergi ke pasar raya tersebut berseorangan untuk membeli persiapan bersalin.

Mangsa sarat mengandung sembilan bulan anak yang ketiga.

“Semasa mangsa berada di tandas wanita telah menyedari beg sandangnya yang disangkut di pintu tandas telah dilarikan oleh suspek.

“Mangsa kemudian bergegas keluar daripada tandas dan bertindak mengejar dalam keadaan sarat mengandung serta menjerit meminta bantuan orang ramai yang berada di sekitar untuk menangkap saspek” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Iqbal suspek bagaimanapun berjaya ditangkap bersama beg sandang mangsa oleh orang awam.

Wanita sarat mengandung itu selamat dan kini berada di Hospital Shah Alam dalam proses hendak bersalin.

Siasatan lanjut mendapati suspek merupakan satu lelaki tempatan berumur 22 tahun dan mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Lelaki itu bekerja di bahagian pemasaran sebuah syarikat penapis air dan kini direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 2 Mei ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Polis menjalankan siasatan di bawah  Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang boleh membawa hukuman penjara sehingga sepuluh tahun dan boleh juga dikenakan denda jika disabitkan dengan kesalahan.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Muhammad Fairunizam Puasa di talian 013-661 6845. -MalaysiaGazette