GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff ditidurkan selepas dimasukan ke Hospital Seberang Jaya dekat sini, akibat komplikasi bahagian perut.

Setiausaha Pas negeri, Iszuree Ibrahim berkata, pihaknya dimaklumkan Nor Zamri kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya.

“Isteri beliau (Nor Zamri) maklumkan suaminya dimasukkan ke hospital dua hari lalu susulan sakit perut dan kini ditidurkan selepas doktor mendapatkan kebenaran daripada ahli keluarga.

“Kami dapat perkembangan mengenai kesihatan beliau daripada isterinya memandangkan orang luar tidak dibenarkan masuk ICU,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi pada Pilihan Raya Negeri Ke-15, Ogos lalu. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.