P.Ramasamy

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy menafikan beliau melepaskan jawatan dalam parti itu kerana tidak ditawarkan kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Sebaliknya, beliau yang kini menjadi Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia atau Urimai berkata, tindakannya itu kerana berlaku pembersihan sistematik yang dilakukan oleh pemimpin tertentu dalam DAP untuk menjaga kepentingan keluarga secara ketat.

Selain itu, beliau mendakwa, keperluan PH untuk menjalinkan hubungan baik dengan UMNO menjadi sebab lain beliau digugurkan sebagai calon.

“Saya pasti raja penjilat dalam DAP Rayer tahu perkara ini. Seperti biasa, Rayer berpura-pura berani untuk menghukum mereka yang keluar parti sebagai sekumpulan pengkhianat dan mereka yang tidak mempunyai prinsip.

“Saya sentiasa menegaskan perjuangan utama saya adalah untuk emansipasi rakyat Malaysia yang miskin dan terpinggir termasuk kaum India,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mengecam bekas rakan seperjuangannya P Ramasamy dan penyokongnya yang berkempen menentang Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.

Menurut Rayer,  sehingga Ogos tahun lalu, Ramasamy merupakan “penyokong dan sekutu tegar” Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan “pembela” kerajaan perpaduan.

Namun sebaik sahaja digugurkan sebagai calon, Ramasamy dan rakan-rakannya menukar nada dan mula menyerang kerajaan perpaduan dan Anwar, katanya.

Bidas Ramasamy, jika Pakatan Harapan (PH) dan DAP melakukan kerja yang hebat dalam menangani pelbagai masalah masyarakat India, mengapa perlu risau tentang parti “nyamuk” Urimai.

“Adakah mereka takut kaum India di Kuala Kubu Baharu dan keseluruhan negara sanggup mendengar hujah Urimai daripada PH atau DAP,” tambahnya.

Ramasamy turut mempersoalkan di mana Rayer dan pasukan penyerangnya apabila  Anwar memanggil kaum India sebagai “Keling” dan enggan melantik seorang Tamil India sebagai menteri Kabinet penuh.

“Di mana Rayer dan penyokong setia DAP ketika Anwar biadap terhadap pelajar yang membawa isu diskriminasi kaum dalam kemasukan ke program matrikulasi, kemasukan ke universiti awam dan tidak kurang juga peminggiran kaum bukan Melayu dalam pekerjaan perkhidmatan awam.

“Mengapa Rayer dan kumpulan setianya tidak mempersoalkan ketua-ketua DAP dan Anwar mengenai kekurangan dana yang diberikan kepada masyarakat India berbanding dengan berbilion-bilion yang diberikan kepada masyarakat bumiputera,” soalnya lagi.

Ramasamy berkata, tindakan PH menyerang dia dan rakan-rakannya tidak akan melemahkan tekadnya untuk mendedahkan penipuan dalam kerajaan pimpinan PH yang mengabaikan masyarakat India.

“Beritahu saya perbezaan antara kerajaan sekarang dan yang dahulu. UMNO adalah punca utama kesengsaraan dan kaum India telah menyokong DAP dan PKR.

“Rayer yang pernah menganggap UMNO sebagai musuh nombor satu rakyat Malaysia telah memeluk mereka dengan gembira.

“MIC yang tidak mempunyai sokongan dalam kalangan masyarakat India adalah diyakini untuk menarik undi India di Kuala Kubu Baharu. Kelakar sungguh!,” tambahnya.

Ramasany berkata, jika Rayer dan ketua-ketua DAP boleh memeluk UMNO dengan melupakan permusuhan politik yang lalu, Ahli Parlimen Jelutong itu tidak sepatutnya bercakap tentang pengkhianatan, pengkhianat dan prinsip.

Sebaliknya, katanya, Rayer harus menerapkan konsep-konsep ini kepada dirinya dan rakan rapat Indianya dalam DAP dan PH.

Beliau mendakwa, kaum India dilayan dengan buruk baik oleh DAP atau PH dan selagi pemimpin India eselon (peringkat) kedua atau ketiga meneruskan permainan berterusan untuk menenangkan ‘bos’ mereka, maka kaum India hanya akan mendapat sedikit bantuan.

Ramasamy berkata, beliau dapat memahami kesetiaan buta pemimpin India dalam DAP dan PH, tetapi kesetiaan itu tidak boleh diterjemahkan sebagai memperjuangkan nasib kaum India.

“Apa yang Rayer boleh lakukan hanyalah menjerit di Parlimen tetapi lebih daripada itu Rayer hanya memalukan masyarakat India.

“Rayer jarang membawa isu kaum India di Parlimen kerana mengikut fahaman palsu kepelbagaian kaum DAP secara membuta tuli,” katanya. – MalaysiaGazette