KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga asing yang terlibat dalam aksi kejar-mengejar dengan polis peronda di Jalan Pasar Malam, Meru, dekat Klang berjaya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner, S. Vijaya Rao berkata, kejadian yang tular hari ini berlaku pada 2 Mei, jam 1 petang.

Menurutnya, semasa pasukan peronda membuat rondaan di kawasan tersebut, terserempak dengan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 yang dinaiki dua lelaki di lampu isyarat dalam keadaan mencurigakan.

“MPV menghampiri dua lelaki tersebut dan mengarahkan untuk menghentikan motosikal yang dinaiki namun mereka melarikan diri. MPV mengejar dan berjaya menahan motosikal tersebut.

“Pemeriksaan terhadap kedua-dua lelaki tersebut mendapati kedua-duanya bukan warganegara tetapi mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan tiada membawa barang barang yang menyalahi undang undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tindakan saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal tersebut kerana tidak mempunyai lesen memandu. – MalaysiaGazette