PUTRAJAYA – Kemelut pertikaian Persatuan Bank-Bank Perdagangan Tanah Melayu (MCBA) dengan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) akan diputuskan oleh Mahkamah Perusahaan.

Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya telah menerima dua aduan pertikaian perusahaan di antara MCBA dengan NUBE berkaitan Bantuan Perayaan pada 5 Februari lepas dan isu rundingan Perjanjian Kolektif ke-20 (bagi tempoh 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2026) pada 3 April lepas.

Kenyataan itu memaklumkan bagi isu bantuan perayaan, JPPM telah mengambil tindakan selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 18(2) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 iaitu mengadakan mesyuarat rundingan damai bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu yang dipertikai pada 19 Februari, 21 Mac dan 27 Mac.

“Namun begitu tiada sebarang penyelesaian dapat dicapai oleh kedua-dua pihak dan pada 3 April lepas, pihak MCBA telah memaklumkan kepada JPPM bahawa bayaran bantuan perayaan telah dilaksanakan pada 2 dan 3 April kepada pekerja-pekerja di bawah skop keanggotan NUBE iaitu satu bulan gaji kepada pekerja kategori Bukan Perkeranian dan 0.5 bulan gaji kepada pekerja kategori Perkeranian dan Gred Khas,” katanya.

Menurut JPPM, bayaran itu turut dipanjangkan kepada pekerja kategori pegawai di bawah skop keanggotaan Persatuan Pegawai-Pegawai Bank Semenanjung Malaysia sebanyak RM1,500.

Menurut kenyataan itu, walaupun bayaran bantuan perayaan telah dilaksanakan, pihak NUBE didakwa masih meneruskan tindakan bantahan dan serangan melalui platform media sosial dan MCBA berpandangan tindakan tersebut tidak selaras dengan Prosedur Rundingan Perjanjian Kolektif ke-20 yang telah dipersetujui pada 22 Januari lepas.

Kenyataan itu juga menyebut pihak MCBA, melalui surat bertarikh 3 April, telah meminta JPPM merujuk isu bantuan perayaan ke Mahkamah Perusahaan.

Justeru itu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim telah merujuk aduan tersebut ke Mahkamah Perusahaan di bawah Seksyen 26(2) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 pada 16 April lepas untuk suatu keputusan kerana kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian berhubung isu berkenaan.

Bagi perjanjian kolektif, kenyataan itu memaklumkan JPPM telah dua kali mengadakan mesyuarat rundingan damai iaitu pada 15 dan 23 April lepas namun tidak dihadiri oleh pihak NUBE walaupun MCBA masih mahu meneruskan perundingan bagi menyelesaikan isu tersebut.

Menurut JPPM, ketidakhadiran pihak NUBE dalam mesyuarat rundingan damai itu telah menyebabkan rundingan perjanjian kolektif menemui jalan buntu.

“Pihak MCBA telah memaklumkan kepada pihak JPPM melalui surat bertarikh 16, 24 dan 26 April 2024 bahawa tidak dapat sebarang penyelesaian isu Perjanjian Kolektif ke-20 dan meminta agar dapat rujukan selanjutnya ke Mahkamah Perusahaan untuk satu penyelesaian,” katanya.

Sehubungan itu, Sim telah merujuk aduan pertikaian perusahaan tersebut ke Mahkamah Perusahaan di bawah Seksyen 26(2) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 pada 29 April lepas untuk suatu keputusan yang adil dan saksama bagi menjaga kebajikan pihak-pihak yang terlibat.

Menurut JPPM, tiada sebarang perjumpaan atau rundingan telah dibuat oleh Sim bersama pihak MCBA berkaitan isu bantuan perayaan mahupun perjanjian kolektif bersama MCBA dan NUBE.

“Pertikaian ini diuruskan secara profesional oleh JPPM selaras dengan peruntukan perundangan di bawah Akta 177,” menurut kenyataan itu. – Bernama