Datuk Nik Mahidin Nik Mustapha (tiga dari kanan) dipilih Anugerah Tokoh Alumni 4B Malaysia.

KUALA LUMPUR Alumni 4B Malaysia diharap dapat terus membantu mempergiatkan lagi usaha memberikan tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman bersama semua ahli di seluruh negara dalam mengukuhkan semangat berpersatuan dan berpasukan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu juga disarankan memanfaatkan rangkaian sedia ada dan memandu junior-junior dari Gerakan Belia 4B Malaysia yang telah bergraduasi umur belia untuk transisi ke Alumni 4B Malaysia pula.

“Percayalah bahawa kesinambungan itu penting, supaya generasi berpersatuan ini akan dapat diteruskan. Sepantas mana pun zaman beredar, saya selalu mengharapkan entiti kemasyarakatan ini akan terus teguh sebagai pemangkin

“Masyarakat Malaysia yang harmoni dan menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara. Di sinilah Alumni 4B boleh memainkan peranannya dengan berkesan, meneladani dan membimbing ahli dan masyarakat pada hari ini,” katanya pada Majlis Makan Malam Perpaduan Perdana Alumni 4b Malaysia 2024.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mewakili beliau ke majlis itu.

Majlis Makan Malam Perpaduan Perdana Alumni 4b Malaysia 2024 turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail malam tadi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan dan terima kasih atas sokongan kepada beliau elaku Presiden UMNO dan kepimpinannya di dalam Mesyuarat Agung Tahunan Alumni 4B Malaysia tahun 2023 yang lalu.

“Saya mengangkat sokongan anda semua sebagai satu pedoman dan pembakar semangat untuk memastikan  tiada kucar kacir di dalam UMNO dan berdiri teguh menyokong kerajaan sedia ada seperti yang kalian semua harapkan melalui resolusi itu.

“Dokongan ini menjadi pemangkin semangat kepada saya untuk terus berbakti demi parti dan masa depan negara yang lebih baik,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, melalui semangat kekitaan dan kebersamaan ini mudah untuk kita menjayakan dan menyampaikan aspirasi kerajaan kepada rakyat melalui pertubuhan yang disertai dan bernaung di bawahnya.

“Tanpa kesepakatan, pecah belah, adu domba, fitnah-memfitnah, cerita sana cerita sini, cakap kosong itu dan ini, pancung sana pancung sini, hanyalah menyemai perpecahan sesama kita dan di kalangan rakyat jelata.

“Usah bercakap pembangunan negara dan kemajuan ekonomi diri dan rakyat sekiranya kita tidak bangun dan bangkit untuk menyingkir ciri-ciri mazmumah ini,” katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM20,000 daripada Kerajaan Pahang kepada Alumni 4B untuk menjalankan aktiviti NGO tersebut. – MalaysiaGazette