Menteri Pengangkutan Anthony Loke, bercakap pada Sidang Media berkenaan program M.E.S.R.A. ECRL di Bandar Utama Batang Kali, Selangor. Foto AIZAT

HULU SELANGOR – Kementerian Pengangkutan telah meminta syarikat robotik marin Ocean Infinity untuk menyerahkan kertas cadangan termasuk bukti dan maklumat bagi menyambung usaha mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang 10 tahun lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke membuat permintaan tersebut selepas wakil Ocean Infinity bertemu beliau pada Khamis lalu di pejabatnya.

“Memang ada perjumpaan dengan pihak Ocean Infinity perbincangan menjurus kepada bagaimana kita hendak memulakan semula misi pencarian. Mereka telah menyatakan kesediaan untuk memulakan misi.

“Selepas perbincangan itu kita telah memutuskan supaya mereka menghantar kertas cadangan dengan bukti-bukti atau maklumat untuk penelitian bahagian udara dan pihak terbabit di bawah kementerian,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tambah Anthony, Ocean Infinity menyatakan kesediaan untuk memulakan misi pencarian pada bulan November ini.

Bagaimanapun perbincangan lanjut perlu dilakukan bagi memuktamadkan perjanjian antara Ocean Infiniti dan kerajaan selain mendapatkan kata putus daripada Kabinet.

“Kita menjangkakan proses ini mengambil masa tiga bulan dan jika semua berjalan lancar maka mereka bersedia untuk memulakan misi pencarian pada November. Sekarang tidak boleh dilakukan berikutan keadaan selatan Lautan Hindi mengalami cuaca bergelora.

“Beberapa bulan ini ada perbincangan lanjut dan ada perjanjian yang perlu dimuktamadkan. Perlu dapatkan kelulusan Kabinet dan saya tidak boleh mendahului Jemaah Menteri,” katanya lagi.

Anthony menambah, jika mendapat kelulusan tidak ada bayaran dibuat sehingga Ocean Infiniti menjumpai pesawat yang telah hilang pada 8 Mac 2014.

Media sebelum ini melaporkan, syarikat berpangkalan di Texas, Amerika Syarikat (AS) mendakwa mempunyai bukti saintifik baharu mengenai lokasi terakhir pesawat MH370.

Ocean Infinity mengumumkan cadangan untuk carian baharu di selatan Lautan Hindi yang juga lokasi pesawat itu dipercayai terhempas sedekad lalu.

Pesawat  jenis Boeing 777 hilang daripada radar kawalan trafik udara ketika terbang di atas Laut China Selatan sejurus berlepas dari Kuala Lumpur.

Pada minggu berikutnya, pemeriksaan teliti terhadap data radar dan satu siri isyarat ping satelit mendedahkan pesawat itu menyimpang dari laluan dan menuju ke barat merentasi semenanjung Asia Tenggara sebelum mengubah laluan ke selatan di Lautan Hindi.

Seramai 239 orang termasuk 12 anak kapal berada di dalam pesawat itu.- MalaysiaGazette