HULU SELANGOR – Calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao melancarkan manifesto bagi rakyat Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu.
Bertemakan Harapan untuk Kuala Kubu Baharu, manifesto tersebut mencakupi lima agenda yang ingin dilaksanakan jika beliau memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung pada 11 Mei ini.
Lima tawaran meliputi ekonomi, kemudahan, alam sekitar dan rekreasi, warisan dan budaya dan kesejahteraan rakyat.
Sock Tao mahu penduduk KKB terutama golongan belia mempunyai peluang pekerjaan sekali gus memberi jaminan untuk mereka terus tinggal di kawasan itu bersama keluarga.
“Manifesto ini adalah hasil maklum balas yang diterima daripada penduduk setempat dan ini merupakan hasil kajian saya dan pasukan kempen. Sudah tentu pasukan kami optimis untuk menjayakan manifesto ini.
“Manifesto ini memberi tumpuan kepada penduduk setempat dan golongan belia amat dekat di hati saya kerana ingin memberi peluang kepada golongan muda di sini untuk mencapai impian mereka mencari pekerjaan, membina keluarga di sini. Jadi warga KKB boleh terus duduk di sini dan bekerja di sini,” katanya kepada media.
Majlis pelancaran berlangung ketika Ceramah Mega Perpaduan di Bandar Utama Batang Kali yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu.
Bagi aspek ekonomi, Sock Tao yang juga anak kelahiran Ampang bertekad untuk merancakkan aktiviti ekonomi berteraskan pembangunan industri di Hulu Selangor, pelancongan tempatan dan keusahawanan.
Inti pati kemudahan pula membabitkan tawaran menambah baik sistem pengangkutan dan kemudahan awam serta meningkatkan kelajuan internet.
Tawaran bagi alam sekitar dan rekreasi pula, calon berusia 31 tahun itu ingin memastikan pembangunan mampan dan pemeliharaan alam sekitar selain menceriakan kehidupan rekreasi warga tempatan.
Bagi aspek warisan dan budaya, Sock Tao bertekad melancarkan inisiatif-inisiatif untuk memulihara dan mengangkat warisan dan budaya Kuala Kubu Baharu.- MalaysiaGazette