Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan bercakap pada program Ceramah Mega Perpaduan PRK N.06, di Bandar Utama Batang Kali, Selangor. Foto AIZAT

HULU SELANGOR – Tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengkritik Kerajaan Perpaduan termasuk kepimpinan parti itu menyebabkan rasa tidak puas hati Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan.

Beliau yang merupakan Pengarah Pilihan Raya Amanah berkata, Muhammad Sanusi hadir ke Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) semata-mata untuk mengkritik kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Dia datang Selangor. Dia hina, maki dan caci Kerajaan PH, Kerajaan Perpaduan di Negeri Selangor. Hei Sanusi kami di Negeri Selangor ada 50 program Iltizam Selangor Penyayang.

“Kita bagi seluruh masyarakat dan rakyat di Negeri Selangor tanpa mengira apa warna kulit, bangsa, keturunan dan anutan parti. Kamu bagi apa kepada rakyat Kedah?” soal Sany dalam Ceramah Mega Perpaduan di Bandar Utama Batang Kali malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Sany juga kesal dengan tindakan Muhammad Sanusi yang didakwa menghentam Mohamad sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Dia hentam presiden saya. Dia kata Mohamad Sabu gagal. Dulu tak ada telur, Mohamad Sabu yang menyelesaikan masalah telur dalam negeri. Ini menteri yang betul. Masalah ayam, beras, bawang selesai.

“Zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi PM harga barang mahal. Barang tak ada dan kita nak tanya Muhyiddin, menantu mana? Jawab itu dulu. Kalau boleh jawab itu di Kuala Kubu Baharu kamu boleh kempen,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Sanusi berkata, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil didakwa gagal menggalas tanggungjawab untuk menjelaskan dasar kerajaan sehingga menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kritikan dan kecaman rakyat.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional itu dalam ceramah di PRK KKB mendakwa Fahmi hanya menggunakan naratif kerajaan difitnah bagi menutup kegagalannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast