Zahid parti
Gulam Muszaffar Gulam Mustakim membahaskan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. Foto UMNO ONLINE, 10 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Program Perumahan Rakyat (PPR) yang diperkenalkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini  didakwa dikhianati pemiliknya yang menyewakan unit mereka kepada warga asing dengan nilai 10 kali ganda.

Ketua UMNO Bahagian Batu merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar mendakwa kadar sewaan itu jauh lebih tinggi berbanding RM124 sebulan yang dikenakan kepada penyewa tempatan.

“Pemilik unit PPR sebelum ini berstatus penyewa telah ditawar membeli unit yang mereka diami di antara RM21,000 hingga RM35,000 di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak pada 2009.

“Inisiatif itu memberi peluang kepada penyewa memiliki kediaman sendiri di samping meningkatkan ekuiti hartanah bumiputera di dalam bandar yang mana majoriti pemastautinnya ialah Melayu.

“Namun dasar yang amat baik itu dilacurkan pemilik PPR dengan menyewa kepada warga asing pada kadar di antara RM600 hingga RM1,200 sebulan berbanding kadar sewa sebenar RM124 sebulan yang ditawarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan segelintir penyewa PPR di sini mengambil kesempatan untuk meraih untung atas angin apabila dikesan menyewakan unit sewaan mereka kepada warga asing.

Berdasarkan risikan DBKL, penyewa warga tempatan membayar sewa RM124 setiap bulan, tetapi menetapkan kadar sewa bulanan antara RM600 hingga RM1,200 kepada warga asing bergantung lokasi.

Bagaimanapun, kata Gulam, DBKL tiada sebarang locus standi untuk mengambil tindakan undang-undang atau akta yang membolehkan untuk merampas unit-unit tersebut kerana hak pemilikan bukan lagi di bawah pentadbiran mereka.

“Oleh itu, masyarakat di luar sana jangan salahkan dan tuding jari kepada pihak DBKL dalam hal ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa agar melihat perkara secara serius.

“Kalau boleh berbincang dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sekiranya boleh mengubal satu akta baru agar unit-unit rumah PPR yang sedia ada telah dijual tidak boleh disewa kepada warga asing,” katanya.

Menurut Gulam, satu tindakan radikal perlu dibuat kerana ramai lagi warga Malaysia terutamanya di Wilayah Persekutuan adalah golongan B40 dan senarai menunggu untuk mendapatkan rumah kediaman mampu milik terbatas.

“Adalah tidak adil rumah PPR yang dibina oleh kerajaan sendiri dilacurkan oleh pengkhianat negara dan bangsa. Tak cukup dengan memajak lesen perniagaan, menggaji dan pasar borong Selayang dijarah warga asing kini rumah PPR pulak dijadikan mangsa lacuran pula dan diberi kemudahan kepada warga asing untuk menikmatinya. Apa nak jadi ini?

“Kita kena perangi warga asing ini terutamanya yang masuk ke dalam negara kita secara haram dan juga barua kepada mereka. Saya anggap mereka ini pengkhianat negara yang perlu dihumban ke penjara dengan hukuman berat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette