Credit: Chow Kon Yeow's Facebook

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan pelannya untuk mewujudkan Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) dan Digital, yang menawarkan sejumlah 1.0 juta kaki persegi ruang pejabat premium untuk menarik dan menempatkan projek berimpak tinggi.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata pembangunan ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan pilihan untuk perniagaan dan usahawan dalam sektor ini.

Beliau berkata pembangunan taman itu terdiri daripada dua fasa, melibatkan 42.5 hektar di Taman Perindustrian Bayan Lepas.

“Fasa pertama yang bermula pada Januari tahun lepas melibatkan pembinaan dua bangunan pejabat, iaitu Global Business Services (GBS) By The Sea dan GBS TechSpace, dengan kos keseluruhan RM347 juta.

“(Fasa pertama) dijadual siap pada suku keempat tahun ini, menyediakan kira-kira 350,000 kaki persegi ruang pejabat premium, dilengkapi dengan ciri-ciri bangunan berspesifikasi tinggi, kemudahan makmal kejuruteraan terkini dan tempat letak kereta,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Chow berkata fasa kedua melibatkan pembinaan GBS@Technoplex, melibatkan kos kira-kira RM308 juta, dijadualkan siap pada 2027.

Katanya sebelum ini, negeri ini telah mempunyai bangunan GBS sendiri yang pertama di Malaysia, iaitu GBS@Mayang dan GBS@Mahsuri, melambangkan komitmen negeri ke arah ekosistem yang kukuh untuk inovasi digital.

Beliau berkata Pulau Pinang kini menempatkan 200 syarikat berstatus Malaysia Digital, kebanyakannya daripada pelaburan langsung asing, menunjukkan tarikan negeri ini dalam sektor ini.

“Bagi mempromosikan lagi reka bentuk IC, negeri ini memperkenalkan kadar sewa bersubsidi untuk ruang pejabat.

“Selain itu, kami dalam proses memohon kepada kerajaan Persekutuan untuk insentif dan geran bagi meningkatkan ekosistem tersebut. Inisiatif ini akan dimasukkan dalam pakej insentif yang akan datang,” katanya.

Chow berkata negeri komited untuk menyediakan infrastruktur yang terbaik, kemudahan yang kondusif dan menarik untuk mengukuhkan kedudukan perintis Pulau Pinang dalam industri reka bentuk IC dan digital.

Sejak 30 tahun yang lepas, Pulau Pinang telah menjadi lokasi kepada lebih 20 syarikat Reka Bentuk IC global, termasuk Intel, Motorola, AMD, Microchip, UST Global, Siemens, Zebra, Lattice dan Synopsys serta beberapa syarikat reka bentuk IC tempatan seperti SkyeChip, Oppstar Technology dan Infinecs Systems.- BERNAMA