Anwar Ibrahim.

GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak pernah menolak untuk bincang dan meneliti semua projek infrastruktur yang memberi manfaat kepada negeri dan rakyat.

Bagaimanapun, Anwar berkata, semua projek infrastruktur termasuk cadangan Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang merentas bidang kuasa negeri dan Persekutuan mesti dibincangkan secara teliti.

“Berhubung (cadangan) projek KXP, Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) bersetuju untuk meneruskan rundingan tapi mesti ikut proses.

“Setengah orang dia main hentam (bidas kerajaan) sedangkan kita perlu ambil kira faktor laluan penerbangan, soal sekuriti unjuran kargo dan lain-lain.

“Itu (perkara berbangkit dalam pembinaan projek KXP) semua kita perlu bincang dan saya serahkan kepada jawatankuasa teknikal Kementerian Pengangkutan, Ekonomi dan Kewangan untuk tindakan lanjut.

“Sekiranya mereka (kementerian terlibat) rasa projek itu patut disegerakan, kita akan segerakan kerana saya tak ada masalah dengan projek yang memberi manfaat kepada negeri dan rakyat,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat Zon Utara dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Tapak Pesta, Sungai Nibong di sini.

Mengulas lanjut Anwar menegaskan, masalah cadangan projek KXP tergantung sebelum ini susulan maklumat yang disampaikan tidak teliti, selain tidak mengikut proses sepenuhnya.

“Sekarang ini saya rasa kesediaan pimpinan Kedah untuk terus meneliti dan kita boleh menyegerakan proses perbincangan itu

“Anthony Loke sendiri akan ambil (maklumat cadangan projek) dan update (kemas kini dan sampaikan) kepada Jemaah Menteri.

“Saya fikir dalam hubungan kita patut begitu tapi kalau kita terus pakai hukum dan cerca susah la kita nak runding.. Saya pun tak nak runding kalau dia panas, biar dia reda dulu baru kita runding,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang menjadi sebahagian Kedah Aerotropolis perlu diberi layanan dan perhatian adil dan sewajarnya pihak-pihak terlibat agar ia dapat direalisasikan demi kebaikan negeri, negara serta rakyat.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, baginda percaya terdapat keperluan mendesak untuk memperkasakan jaringan infrastruktur pengangkutan dan perhubungan negeri bagi terus mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negeri yang makin pesat. – MalaysiaGazette