Kredit FB Wan Rosdy Wan Ismail.

KUANTAN – Agenda menghimpunkan kumpulan pemikir Islam dari 22 negara bagi berkongsi dimensi baharu membincangkan ilmu dalam bidang pendidikan Islam di Pahang.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seramai 300 peserta dan 49 pembentang mengambil bahagian dalam International Conference on Contemporary Education In Islamic World (ICCEIW) di sini yang berlangsung semalam hingga 7 Mei ini.

Persidangan bertaraf antarabangsa berlangsung selama tiga hari turut dihadiri julung kalinya wakil Rabitah al-Jamiah al-Islamiyyah.

Seminar anjuran Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dengan kerjasama Yayasan Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Kesatuan Universiti-Universiti Islam Sedunia.

“Kita ingin kongsikan apa yang kita lakukan dan mereka ingin meniru (mengikut) contoh apa kita laksanakan di Pahang. Kalau skala kecil kita panggil brainstorming tapi ini besar kita panggil conference daripada negara masing-masing akan membentangkan bersabit dengan Islam, perbandingan dan sebagainya di negara masing-masing, kita boleh ikut apa mereka buat, mereka juga boleh tiru.

“Satu bentuk percambahan fikiran sekali gus membantu memajukan negara Islam termasuk kita. Islam ini luas tetapi kadang-kadang disempitkan oleh pihak tertentu dan kita tidak mahu pertembungan pemikiran sempit ini membuatkan rakyat dan penganut agama Islam terkeliru,” katanya.

Tambah Wan Rosdy, kerajaan negeri menerima maklum balas usaha yang dilakukan sangat baik dalam memertabatkan pendidikan Islam daripada peserta.

Beliau tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan menganjurkan persidangan antarabangsa pada masa akan datang.

“Ini adalah julung kali kita adakan  untuk akan datang kita akan melihat keberhasilan persidangan yang kita buat ini, kalau keadaan memerlukan kita boleh buat sebab ini usaha sangat baik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast