Mohd Fared Mohd Khalid

JOHOR BAHRU – Kertas siasatan berhubung logo yang didakwa mirip kalimah Allah tertera pada tapak kasut telah diserahkan kepada Peguam Negara (AG).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, siasatan dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kertas siasatan telah diserahkan kepada peguam negara dan sama ada, ada siasatan tambahan atau tidak, saya percaya itu dalam bidang kuasa pihak Peguam Negara.

“Tetapi saya yakin, penguat kuasa JAINJ dan PDRM telah laksana tugas, selebihnya kita serah budi bicara Peguam Negara untuk buat tindakan susulan, termasuk sekiranya perlu untuk mendakwa mereka yang terlibat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Pusat Islam Iskandar Johor, di sini, hari ini.

Sebelum ini tular satu video berdurasi tiga minit menerusi media sosial yang memaparkan seorang lelaki mendakwa kasut keluaran Vern’s yang dibelinya memaparkan logo seakan-akan kalimah Allah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini berkata, polis menerima lapan laporan di seluruh negara berkaitan isu logo berkenaan dan kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat perkara itu di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 8 April lepas, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff dilapor berkata pihaknya telah bertemu Pengasas dan Pengarah Urusan Vern’s Holding Sdn Bhd Datuk Seri Ng Chuan Hoo bagi tujuan siasatan dan meminta penjelasan serta langkah-langkah syarikat untuk mengelakkan isu seumpama itu berulang.

Dalam perkembangan lain, Mohd Fared berkata, seramai 3,500 jemaah haji Johor bakal menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini dengan penerbangan paling awal dijadualkan pada 18 Mei melibatkan seramai 500 orang.

Kerajaan Arab Saudi meluluskan 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia bagi musim haji tahun ini berdasarkan jumlah 0.1 peratus jumlah penduduk Islam di negara ini. – Bernama