Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Foto MOHD ADZLAN, 03 MEI 2024.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mendedahkan data berkenaan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) khusus bagi vaksin Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, data berkenaan merupakan rekod pendaftaran sepanjang program vaksinasi sebelum ini.

“Saya mahukan satu masa nanti rekod pendaftaran ini didedahkan kepada umum. Ini  tanggungjawab saya dan kementerian. Kita akan dedahkan dan terbitkan pada satu waktu yang ditetapkan oleh KKM bukan sahaja kesan AstraZeneca tapi semua,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas merasmikan pra-pelancaran Persidangan Kesihatan Antarabangsa Megatrends (MIH) 2024 yang akan berlangsung Oktober ini.

Mengulas lanjut Dzulkifly memberitahu, pihaknya masih menunggu penjelasan rasmi daripada AstraZeneca berkenaan kesan sampingam vaksin berkenaan seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

“Saya telah mendapat panggilan daripada CEO AstraZeneca berkenaan kenyataan saya baru-baru ini (yang meminta penjelasan), dia juga baca.

“Saya juga masih menantikan satu penjelasan rasmi daripada mereka,” ujarnya.

Pada 29 April lalu Farmaseutikal AstraZeneca (AZ) dilaporkan mengakui dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin Covid-19 boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku.

Pengakuan berkenaan secara langsung boleh membuka jalan untuk pampasan undang-undang bernilai jutaan pound, dengan 51 kes dikemukakan di Mahkamah Tinggi setakat ini, menuntut ganti rugi dianggarkan bernilai sehingga £100 juta (RM512 juta).

Sementara itu, Indonesia dilaporkan tidak menerima laporan mengenai kes trombosis dengan sindrom “thrombocytopenia” yang dikaitkan dengan vaksin Covid-19 AstraZeneca di Indonesia. – MalaysiaGazette