Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Dewan Seri Endon, Putrajaya di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Kerajaan memberi amaran keras kepada kumpulan kecil yang menjadi perosak dalam penjawat awam kerana mereka akan dikenal pasti oleh ketua jabatan masing-masing, kata Perdana Menteri.

Malah Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan, golongan itu tidak akan mendapat habuan yang sama dengan penjawat awam lain yang komited bekerja menerusi kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus yang diumumkan baru-baru ini.

“Tetapi dalam sistem saraan penjawat awam ini, ada orang kata dan pertikai, kalau di sekolah, mungkin 90 peratus lebih guru-guru menjalankan tanggungjawab tetapi ada guru-guru yang cuai, kadang-kadang tidak hadir.

“Begitu juga masalah di jabatan, ada golong kecil yang rasuah, tidak datang kerja dan pelbagai masalah. Apakah kita harus beri layanan yang sama kumpulan kecil ini? Ada yang kata tidak sampai lima peratus.

“Jawab saya, tidak. Kita tidak beri layanan yang sama. Jadi sementara kita beri anjakan agak radikal dari segi beri pengiktirafan dan habuan kepada penjawatan awam, untuk mengawal sendiri, jabatan dan rakan-rakan agar dikenal pasti orang-orang yang merosakkan nama penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Dewan Seri Endon di sini hari ini.

Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pada sambutan Hari Pekerja lepas, Anwar mengumumkan berita gembira yang penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus yang merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara mulai 1 Disember depan.

Perdana Menteri memaklumkan sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus namun Kerajaan Madani akan memastikan kadar kenaikan kali ini lebih tinggi.

Anwar berkata, pelarasan gaji penjawat awam itu akan membabitkan peruntukan mencecah lebih RM10 bilion berikutan jumlah kenaikan yang besar dan terbaik dalam sejarah negara.

Beliau menjelaskan dengan pelarasan itu nanti, pendapatan minimum penjawat awam merangkumi gaji dan elaun tetap perlu melebihi RM2,000 sebulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast