Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melawat Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC ASIA) 2024 di Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 06 MEI 2024

KUALA LUMPUR – “Bagaimana negara membangun boleh bekerjasama dengan pihak lain bagi mengejar rakan sejawat mereka yang lebih maju?”

Itu persoalan ditimbulkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menganggap semua pihak perlu buka mata untuk menerima pembabitan golongan muda kerana idea mereka lebih segar dalam teknologi keselamatan.

Jelas beliau, menangani risiko keselamatan bukan tradisional amat memerlukan kepakaran generasi muda kerana mereka sudah biasa dengan pelbagai teknologi yang baharu muncul.

“Melabur dalam generasi akan datang dapat memastikan mereka pada satu hari nanti lengkap dengan pelbagai kemahiran dan menjadi harapan untuk mengemudi cabaran masa hadapan,” katanya dalam ucaptama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Putrajaya 2024 sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC ASIA) 2024 di sini hari ini.

Khaled menjelaskan, usaha itu turut memerlukan peranan semua pihak dalam meningkatkan diplomasi pertahanan dengan memanfaatkan kelebihan teknologi terkini melalui pelaburan idea dan sumber baharu.

“Perlu kita sedar bahawa keselamatan bukan tradisional datang dengan cabaran bersifat dinamik yang berkembang pesat, maka ia menuntut idea yang transformatif dan mengubah perancangan,” ujarnya.

Susulan itu, beliau menyimpulkan teknologi masa kini yang menawarkan penyelesaian praktikal perlu menjadi pusat kepada hubungan diplomatik dan rundingan perkongsian antarabangsa.

Forum Putrajaya 2024 merupakan pentas persidangan antarabangsa bagi menghimpunkan komuniti penggubal dasar, agensi pertahanan serta keselamatan serantau dan antarabangsa dalam memastikan keamanan sejagat. – MalaysiaGazette