Presiden Parti Keadilan India Malaysia (MIJP), S.P.Murugan bercakap kepada media selepas hadir ke program Rewang dan Ramah Mesra Komuniti Ampang Pecah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu ketika di Taman Ampang Pecah, Hulu Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 05 MEI 2024.

HULU SELANGOR – Bekas Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang P. Ramasamy tidak mempunyai pengaruh dalam kalangan masyarakat India.

Presiden Parti Keadilan India Malaysia (MIJP), S.P.Murugan mendakwa masyarakat India tidak akan mendengar saranan Ramasamy yang meminta supaya memboikot Pilihan Raya Kecil (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).

Pemimpin parti yang mesra dengan Barisan Nasional itu berkata, banyak yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada masyarakat India.

“Memang Ramasamy dia bekas pemimpin DAP telah memegang jawatan besar dalam parti juga sebagai Timbalan Ketua Menteri di Pulau Pinang. Sekarang dia tak dapat jadi calon 2015. Dia tidak puas hati.

“Apa yang dia cerita bukan dari (pendapat) akar umbi, dia sahaja cerita ikut perasaan dia. Orang India tak dengar cakap dia. Sekarang kepimpinan PMX dan TPM banyak buat untuk kaum India. Kaum India tidak sokong kata-kata Ramasamy,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis Rewang dan Ramah Mesra Komuniti Ampang Pecah malam tadi yang turut dihadiri Naib Presiden PKR Chang Lih Kang, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Borhan Aman Shah dan calon Pakatan Harapan Pang Sock Tao.

Murugan berkata, hampir 90 peratus pengundi India di Kuala Kubu Baharu akan mengundi calon Pakatan Harapan (PH).

“Hari ini saya turun padang untuk kempen calon PH. Kita menumpukan kepada pengundi India di kawasan KKB. Sekarang kita faham memang pengundi India menyokong penuh calon PH. Kita turun padang bersama Pengerusi BN. Kita rasa Sock Tao boleh menang,” tambahnya.

Ramasamy yang kini Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI) turut turun berkempen di PRK KKB baru-baru ini.

Bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu berkata, masyarakat India di Kuala Kubu Baharu masih menunggu janji kerajaan untuk membina sebuah sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) sebelum ini.

Berikutan itu, beliau menyarankan pengundi tidak memilih calon Sock Tao.

Sebelum ini, Ramasamy menggesa agar masyarakat India memboikot PRK pada 11 Mei depan.

DUN Kuala Kubu Baharu yang kosong berikutan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac mempunyai kadar pengundi terdiri daripada 46 peratus pengundi Melayu diikuti Cina (31 peratus), India (18 peratus), dan lain-lain (lima peratus). – MalaysiaGazette