Calon Pakatan Harapan, Pang Sock Tao ditemani Ketua PKR Perak, Chang Lih Kang dan Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Borhan Aman Shah bergambar bersama penduduk program Rewang dan Ramah Mesra Komuniti Ampang Pecah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu ketika di Taman Ampang Pecah, Hulu Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 05 MEI 2024.

HULU SELANGOR – Kerjasama baik yang ditunjukkan oleh parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan termasuk Barisan Nasional (BN) dan UMNO akan menjadi faktor kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).

Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang berkata, semangat perpaduan yang ditunjukkan pemimpin akan diikuti dengan ahli dan penyokong BN serta UMNO untuk mengundi calon Pakatan Harapan dari DAP iaitu Pang Sock Tao.

“Secara jujur saya nampak kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan sangat baik. Mungkin pada mulanya tak nampak synergy namun makin lama semakin terserlah.

“Memang kerjasama yang sangat baik dan erat akan menjadi  salah satu sebab kami memang. Saya yakin pengundi BN akan beri sokongan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis Rewang dan Ramah Mesra Komuniti Ampang Pecah malam tadi yang turut dihadiri Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor Borhan Aman Shah dan Sock Tao.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu dapat melihat tindak balas memberangsangkan daripada pengundi yang tinggal di KKB sepanjang berkempen di sini.

Bagaimanapun beliau berharap pengundi luar terutama golongan muda untuk pulang dan mengundi sekali gus memenangkan calon Kerajaan Perpaduan pada 11 Mei ini.

Beliau juga menasihatkan pengundi untuk tidak terpengaruh dengan seruan dan pujukan sesetengah pihak supaya memboikot PRK KKB.

“Memang dalam pilihan raya ada banyak puak. Ada kumpulan yang sokong dan ada yang memboikot. Cuma saya rasa kebanyakan pengundi arus perdana tidak akan boikot.  Kebanyakan mereka akan buat pilihan,” katanya yakin.

Sementara itu, menurut beliau, jentera Kerajaan Perpaduan akan memberi tumpuan terhadap pengundi atas pagar bagi tempoh kempen yang berbaki lima hari lagi.

Katanya, adalah penting untuk berjumpa seramai mungkin pengundi atas pagar sebelum mereka membuat pengundian bagi memilih wakil rakyat baharu pada Sabtu ini.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan terdapat kebimbangan oleh petugas kempen terhadap masyarakat India yang mewakili 18 peratus pengundi masih lagi belum membuat keputusan.

Turut dilaporkan adalah beberapa pemimpin berketurunan India termasuk bekas pemimpin DAP P. Ramasamy yang menggesa masyarakat India untuk memboikot pilihan raya tersebut.

PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Sock Tao, Khairul Azhari Suat (Perikatan Nasional) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast