HULU SELANGOR – Pakatan Harapan (PH) mempunyai strategi kemenangan dalam ‘pecutan akhir’ kempen Pilihan Raya Kecil (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) yang berbaki lima hari lagi.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR, Borhan Aman Shah bagaimanapun tidak mendedahkan strategi berkenaan.
Namun, katanya, antara resepi kemenangan calon PH Pang Sock Tao adalah keserasian yang diperlihatkan oleh pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan.
“Alhamdullilah, saat terakhir chemistry antara parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan nampak begitu menonjol sekali.
“Kita lihat pimpinan Kerajaan Persekutuan terutama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi impak yang begitu baik dalam kalangan masyarakat seluruh negara.
“Kita nampak ini memberi impak yang baik khususnya pengundi di KKB dan berkeyakinan bahawa akan memenangi PRK,” katanya kepada media.
Beliau ditemui selepas menghadiri majlis Rewang dan Ramah Mesra Komuniti Ampang Pecah malam tadi yang turut dihadiri Naib Presiden PKR Chang Lih Kang dan Sock Tao.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor itu berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari juga turun berkempen hampir setiap hari bagi memastikan kemenangan calon.
“Menteri Besar Selangor boleh dikatakan hari-hari turun bagi memastikan pergerakan jentera pilihan raya dalam keadaan yang cukup conducive.
“Kita memastikan tidak ada keciciran permintaan, komen atau masih lagi kerja yang tertinggal di KKB yang perlu diperhalusi dan dipertimbangkan semula. Masalah perumahan kaum India, Orang Asli, paip, perumahan dan sebagainya (juga diselesaikan).
“Kita harap pengundi di KKB dapat menilai kerajaan mana yang telah memberi sumbangan dan perhatian sepemuhnya kepada pengundi,” katannya.
Sementara itu, menjelang hari pengundian awal esok, Ahli Dewan Negeri Tanjong Sepat itu menyeru kepada anggota keselamatan untuk memilih Sock Tao.
Katanya, banyak yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk penjawat awam termasuk kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus.
“Saya ingin berpesan kepada pengundi awal, berilah sokongan dan dokongan kepada calon kita di bawah Kerajaan Perpaduan.
“Kita lihat sendiri kerajaan pusat, pimpinan Anwar telah memberi beberapa inisatif, kenaikan gaji. Ini menunjukkan kerajaan prihatin kepada penjawat awam khususnya,” katanya.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Bharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lalu.- MalaysiaGazette