Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan Foto WAN NABIL NASIR, 15 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki melakukan serangan ke atas pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Halim menggunakan cecair kimia disyaki asid sehingga mendatangkan kecederaan dalam kejadian semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi hari ini mengesahkan maklumat terbaharu itu.

Katanya, dalam perkembangan terbaharu siasatan kes serangan ke atas pemain kebangsaan itu, seorang lelaki warga tempatan dipercayai terlibat dalam serangan itu berjaya ditahan polis.

“Polis menangkap seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an (disyaki terlibat serangan tersebut).

“Suspek akan direman pada hari ini untuk membantu siasatan lanjut dalam kes ini,” katanya tanpa mengulas bila dan tempat suspek itu diberkas ketika dihubungi pagi tadi.

Tambah Hussein, setakat ini pihaknya telah selesai mengambil keterangan daripada tiga individu termasuk mangsa kejadian tersebut untuk membantu siasatan.

“Setakat ini polis sudah merekodkan keterangan daripada tiga individu termasuk mangsa kejadian.

“Beberapa saksi bebas akan dipanggil pada hari ini untuk mengambil keterangan membantu siasatan kami untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Semalam, Hussein mengesahkan pihaknya menerima panggilan tentang pemain kebangsaan telah diserang dengan disimbah cecair kimia disyaki asid semasa berada di sebuah pusat beli belah terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Katanya, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera parah.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum hendaklah diseksa dengan penjara yang boleh sampai 20 tahun dan bolehlah juga dikenakan denda atau sebat.

“Pemain itu mengalami kecederaan dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya dan keadaan dilaporkan stabil,’ katanya lagi.- MalaysiaGazette