KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang jangan takut dan akan terus proaktif memperkasakan tindakan penguatkuasaan undang-undang.
Baginda bertitah, tindakan pemantau seperti aktiviti rondaan pencegahan, siasatan dan pengumpulan maklumat berkenaan pencerobohan tanah kerajaan prestasi ekonomi dan pembangunan negeri perlu terus dilakukan bagi mengekang aktiviti pencerobohan haram.
“Beta berbangga dengan usaha kerajaan beta yang memandang serius dalam mengatasi ketirisan hasil negeri yang berpunca daripada kegiatan kecurian hasil bumi dan pencerobohan tanah kerajaan.
“Beta dimaklumkan pada tahun 2023, sebanyak RM27 juta kompaun dan denda berjaya dikutip berbanding tahun sebelumnya jaitu sebanyak RM1.5 juta malah terdapat 15 kes telah dibawa ke muka pengadilan
“Malah pentadbiran kerajaan beta hari ini tidak lagi mengenakan kompaun terhadap aktiviti pencerobohan tanah kerajaan sebaliknya mengheret mereka yang didapati melakukan aktiviti tersebut terus ke mahkamah. Syabas dan tahniah atas tindakan yang tegas ini,” titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika berangkat ke Istiadat Pembukaan Dewan dan Mesyuarat Pertama Penggal ke-3 Dewan Negeri Pahang di hadapan Dewan Negeri Wisma Sri Pahang hari ini.
Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah selain dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan berkenaan permohonan semakan kehakiman bagi notis pengosongan tanah oleh pekebun durian Musang King di Raub pada 24 April 2024 dan berharap agar semua pihak menghormati keputusan mahkamah tersebut.
Baginda juga berbangga pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Wan Rosdy atas kejayaan meningkatkan prestasi kutipan hasil melebihi RM1 bilion untuk dua tahun berturut-turut.
Titah baginda, Pahang telah berjaya memperoleh kutipan hasil sebanyak RM1.306 bilion melalui pelbagai sumber hasil negeri dengan sumbangan terbesar adalah kutipan hasil tanah yang keseluruhannya berjumlah RM740.35 juta.
Malah kutipan hasil kerajaan negeri bagi tahun 2023 menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 1.42 peratus lebih tinggi berbanding dengan prestasi jumlah kutipan hasil pada tahun 2022 iaitu RM1.28 bilion.
“Manakala bagi tahun 2024, kerajaan beta telah menetapkan sasaran kutipan hasil secara keseluruhan sebanyak RM1.137 bilion sehingga 30 April 2024, kerajaan beta telah berjaya mengutip hasil secara keseluruhan sebanyak RM29.108 juta
“Iaitu 26.2 peratus daripada sasaran yang ditetapkan dan beta percaya jumlah ini akan bertambah dari semasa ke semasa,” titah Al-Sultan Abdullah. – MalaysiaGazette