KUANTAN – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini memohon agar mendoakan supaya anakandanya Tengku Hassanal cepat berkahwin.
Usikan itu dibuat ketika baginda menyampaikan titah perasmian Istiadat Pembukaan Dewan dan Mesyuarat Pertama Penggal ke-3 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 hari ini.
“Dan mudahan-mudahan juga kita doakan anakanda (Tengku Hassanal) segera kahwin,” titah baginda sebelum mengakhiri lafaz titah Diraja di Wisma Sri Pahang pada hari ini.
Dalam titahnya, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan buat Tengku Hassanal yang telah melaksanakan tugas sebagai Pemangku Raja selama lima tahun bermula 2019 ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.
“Ucapan terima kasih juga kepada semua khususnya Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Setiausa Kerajaan Negeri, ahli-ahli mesyuarat dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana telah memberi segala dorongan, sokongan dan tunjuk ajar dalam bermacam tugasan Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang.
“Mudah-mudahan anakanda beta dapat pelajari selok belok tentang urusan tadbir urus sebuah negeri seperti negeri Pahang,” titah baginda.
Al Sultan Abdullah kembali mentadbir negeri Pahang selepas tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong berakhir pada 30 Januari 2024. – MalaysiaGazette