Sidang media Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul tampil memohon semakan kehakiman terhadap kerajaan selepas menghentikan dan menyekat lebih RM730,000 peruntukan kawasan Parlimen Muar sejak tahun lepas.

Semakan kehakiman oleh Syed Saddiq bersama tiga lagi komuniti Muar mahu mahkamah memerintahkan responden iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan untuk menyalurkan wang tersebut dan peruntukan buat tahun 2024.

Menurut affidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, Syed Saddiq mendakwa peruntukan itu dihentikan atau dibatalkan selepas partinya, MUDA membuat keputusan untuk menarik diri daripada kerajaan pada September tahun lepas.

Syed Saddiq berkata, keputusan kerajaan itu melanggar haknya yang sah beliau sebagai Ahli Parlimen Muar dalam undang-undang dan dianggap tidak munasabah dan tidak berperlembagaan sedangkan kawasan Parlimen yang mana Ahli Parlimennya berada di blok kerajaan menerima peruntukan.

Kata Syed Saddiq, adalah tidak adil apabila kerajaan dengan ‘serta merta’ menyekat peruntukan sedia ada selain peruntukan baharu selepas MUDA bertindak tidak mahu menyokong kerajaan.

“Saman sivil saya dan warga Muar ini adalah berkaitan penafian peruntukan yang dijanjikan oleh kerajaan kepada orang-orang susah khasnya di Parlimen ini. Peruntukan yang telah diluluskan kemudian ditarik balik kerana sokongan politik.

“Baki yang ada dalam akaun Muar juga ditarik balik sehingga tinggal ‘kosong’ hanya kerana MUDA ambil pendirian tidak sokong kerajaan. Ini adalah politik balas dendam.

“Enam wakil rakyat dari parti lain sokong kerajaan terus dapat peruntukkan. Saya hendak masuk sistem pun dalam  Unit Penyelarasan Pelaksanaan di bawah Jabatan Perdana Menteri disekat.

“Saya sengaja disekat dan ini adalah satu diskrimanisi. Yang lebih menyedihkan adalah komuniti Muar yang disekat peruntukan,” katanya kepada media di lobi Mahkamah Jalan Duta hari ini.

Kata Syed Saddiq lagi, peruntukan-peruntukan yang disekat itu sepatutnya disalurkan kepada pelbagai kumpulan memerlukan termasuklah komuniti miskin tegar, OKU, warga emas, ibu tunggal dan sebagainya.

Selain itu, pelbagai projek pembangunan serta bantuan kebajikan, naik taraf baik pulih sekolah yang sepatutnya sudah disalurkan kepada rakyat semuanya terbantut.

“Ini termasuklah seperti bantuan asas seperti kerusi roda, pampers, susu formula dan sebagainya. Golongan inilah yang paling terkesan apabila bantuan itu disalurkan mengikut ‘warna politik’ dan kawasan yang mendapat sokongan kerajaan sahaja.

“Kerana itu kita mahu letakkan noktah kepada politik menghukum, diskriminasi kerana yang terjejas adalah golongan susah ini. Jika kita berjaya dalam saman sivil, insya-Allah kita dapat ubah landskap politik terutamanya dalam menangani kawasan-kawasan dimenangi pembangkang,” ujarnya.

Dalam tuntutannya, Syed Saddiq memohon mahkamah membatalkan keputusan-keputusan berkenaan dan memerintahkan responden menyalurkan RM500,000 dan meluluskan dan/atau menyalurkan peruntukan kepada projek-projek telah diluluskan berjumlah RM230,300.

Menurutnya, RM500,000 itu bagi tujuan perbelanjaan untuk program-program bentuk kebajikan, kesejahteraan rakyat dan bencana manakala RM230,300 itu untuk projek seperti sumbangan bagi membiayai kos pembangunan sebuah pusat sumber sekolah.

Syed Saddiq juga mahu menghidupkan aksesnya kepada sistem MyKHAS dan menyalurkan peruntukan kepada pusat khidmat Parlimen Muar pada kadar yang sama seperti peruntukan yang disalurkan kepada ahli Parlimen kerajaan buat tahun 2024.

Semakan kehakiman hari ini diwakili oleh Messrs Lim Wei Jiet dan difahamkan tarikh pengurusan akan ditetapkan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast