KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi berharap hasil pelaksanaan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2024 akan diteliti sebagai persediaan untuk menjadi Pengerusi ASEAN 2025.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan IRC ini merupakan usaha kementeriannya bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengumpulkan semua pakar dan rakan dalam bidang kawal selia dari dalam ASEAN dan seluruh dunia.
“Hasil pertemuan dan perkongsian dalam sesi yang diadakan sepanjang dua harı ini boleh diteliti sekiranya ia bersesuaian dan boleh dilaksanakan di Malaysia.
“Tujuan penganjuran IRC ini juga bagi membolehkan kita belajar daripada apa telah diusahakan negara-negara lain. Harapan saya kita dapat laksanakan secara berkala pada tahun-tahun akan datang.
“Persidangan ini juga dilaksanakan bersempena pengerusian ASEAN kerana Malaysia berada dalam kedudukan unik dan baik untuk membincangkan realiti keadaan situasi semasa.
“Jadi saya berharap agar program-program atau forum-forum diadakan semasa IRC 2024 ini dapat dilihat kesesuaiannya untuk dimasukkan dalam senarai acara sepanjang tempoh pengerusian ASEAN 2025,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC 2024), di bu negara, hari ini.
Persidangan yang julung kali diadakan ini disertai kira-kira 800 peserta yang terdiri daripada wakil dalam dan luar ASEAN.
Mengulas lanjut Fahmi berkata, tahap kesiapsiagaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah ASEAN berada dalam tahap baik setelah beberapa mesyuarat diadakan.
Jelasnya, setakat ini kementeriannya telah mencadangkan sejumlah acara melibatkan beberapa agensi termasuk Bernama, MCMC, dan Finas sepanjang tempoh pengerusian tersebut.
“Sekiranya kita lihat ada kewajaran untuk mencadangkan acara seperti IRC berada dalam sebahagian daripada kalendar, maka kita akan usahakan.
“Kita akan tambah baik lagi cadangan dari semasa ke semasa dan kita jangka menjelang bulan 10 sidang kemuncak ASEAN akan menyaksikan peralihan kepengerusian ASEAN kepada Malaysia,” jelasnya. – MalaysiaGazette