Foto FB Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR – Pemilik kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim mengecam insiden yang membabitkan pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim dan Akhyar Rashid.

“Saya mengecam kejadian yang melibatkan pemain bola sepak, Faisal Halim dan Akhyar Rashid susulan keselamatan serta kesejahteraan mereka diganggu oleh individu-individu tidak bertanggungjawab.

“Saya berharap agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menyiasat kes-kes tersebut dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya yang mesra dengan panggilan TMJ dalam satu kenyataan di media sosial.

Pada masa sama, Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-Gon turut meluahkan rasa simpati kepada anak-anak buahnya yang ditimpa nasib malang itu.

Pan-gon dilihat turut memuat naik semula kenyataan yang dikongsikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di laman rasmi Instagram miliknya.

“Semoga cepat sembuh, Akhyar Rashid dan Faisal Halim,” tulis kenyataan tersebut.

Semalam, bintang Selangor FC, Faisal atau dikenali sebagai Mickey itu mengalami kecederaan di bahagian lengan dan badannya selepas disimbah asid.

Faisal dilaporkan diserang ketika berada di sbeuah pusat beli belah terkemuka di Damansara kira-kira pukul 5 petang.

Sementara itu, pada Khamis lalu, pemain kebangsaan dan juga Terengganu FC, Akhyar diserang sebelum disamun di Kuala Terengganu.

Akhyar dikatakan dipukul menggunakan senjata tumpul di bahagian kepalanya sehingga menyebabkan pemain terbabit mengalami kecederaan.

Difahamkan, suspek melarikan telefon bimbit dan dompet pemain tersebut sebelum melarikan diri. – MalaysiaGazette