Perintah reman selama lima hari terhadap suspek lelaki berusia 41 tahun itu dikeluarkan Majistret Khairunnisak Hassni bagi membantu siasatan kes rasuah daripada beberapa kontraktor penyelenggaraan berjumlah keseluruhan RM7,500 dua tahun lalu.

MELAKA – Seorang bekas pembantu operasi sebuah institusi pendidikan di Melaka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM7,500 dua tahun lalu.

Perintah reman selama lima hari sehingga Sabtu ini terhadap suspek lelaki berusia 41 tahun itu dikeluarkan Majistret Khairunnisak Hassni di Mahkamah Melaka selepas dipohon SPRM.

Menurut sumber, suspek dipercayai telah menerima suapan bagi membantu mempercepatkan proses bayaran kerja-kerja yang dilakukan kontraktor penyelenggaraan sekitar tahun 2022.

Terdahulu, suspek ditahan kira-kira pukul 2 petang semalam ketika diminta hadir di Pejabat SPRM Melaka bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas suspek yang disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun. – MalaysiaGazette