Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Ribuan Abdullah bersama Pengarah JKDM Pahang Mohd Asri Seman menunjukkan hasil barang rampasan dalam dua serbuan berasingan di Johor baru-baru ini.

KUANTAN – Helah menjadikan premis tidak berpenghuni tempat simpanan bahan seludup dari negara jiran dikesan apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya merampas 916,600 batang rokok dalam dua serbuan berasingan.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Ribuan Abdullah berkata, kedua-dua serbuan dilakukan di Johor itu berjaya mematahkan cubaan pengedaran barang-barang tak berkastam bernilai RM727,694.80 termasuk cukai pada 18 dan 19 April lalu.

Ribuan Abdullah

”Kes pertama, pada 18 April 2024, lebih kurang 12 tengah hari, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuantan telah melakukan serbuan di sebuah premis di Kluang, Johor.

”Hasil pemeriksaan yang dilakukan, pasukan berjaya menyita sebanyak 663,800 batang rokok pelbagai jenis dan jenama yang disyaki barang tak berkastam dengan anggaran RM528,127.20,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman di sini hari ini.

Manakala kes kedua, Ribuan berkata, JKDM Kuantan telah melakukan serbuan di sebuah premis di Paloh, Johor pada 19 April lalu.

Hasil pemeriksaan pasukan berjaya menyita sebanyak 255,800 batang rokok pelbagai jenis dan jenama yang disyaki barang tak berkastam.

Nilai termasuk cukai bagi rokok pelbagai jenis dan jenama ini dianggarkan berjumlah RM199,997.60.

Usaha mengesan pemilik premis berkenaan sedang giat dijalankan untuk membantu siasatan bagi kedua-dua kes.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette