KUALA LUMPUR – Pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 kini pada peringkat akhir dan akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan akan terus memberikan komitmen penuh untuk memerangi dadah yang menjadi musuh utama negara.
“Akta ini bertujuan untuk menghapuskan segala kesalahan jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah walaupun secara ringan serta memberi ruang kepada pegawai pemulihan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk menentukan sama ada seseorang itu dikategorikan sebagai penagih atau bukan.
“Walaupun kami telah menyediakan 30 pusat pemulihan, jumlah klien yang kami telah bantu pulih secara komuniti lebih besar iaitu melebihi 70,000 orang.
“Kerajaan juga akan memberikan seluruh kekuatan dan keupayaan bukan sahaja menjayakan pindaan akta ini tetapi juga membantu klien Pusat Pemulihan Penagih Narkotik (PUSPEN) bebas dari najis dadah,” katanya dalam Majlis Perasmian Hari Terbuka Agensi Anti Dadah 2024 di PUSPEN Sungai Besi hari ini.
Saifuddin juga menambah masyarakat sekeliling wajar memberikan bekas penagih peluang kedua dan tidak menghukum kesalahan lampau mereka.
“Kerja menghukum adalah kerja mahkamah, kita sebagai komuniti yang mempunyai empati dan sifat kemanusiaan patutnya memberikan mereka sokongan untuk tidak lagi terjerumus dalam penagihan dadah,” ujarnya.
Hari Terbuka Agensi Anti Dadah Kebangsaan 2024 ini diadakan bertujuan untuk memberi informasi dan pendedahan berkaitan perkhidmatan rawatan dan pemulihan yang disediakan AADK.
Seiring dengan usaha itu, AADK akan turut giat mempromosikan usaha rawatan dan penagihan dadah secara sukarela dengan menyediakan advokasi awal, sesi kaunseling, khidmat nasihat dan sebagainya sama ada kepada penagih, keluarga dan komuniti. – MalaysiaGazette