KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meletakkan Malaysia dalam 30 ekonomi terbesar di dunia berkaitan penciptaan dan bakat mahir graduan.
Pertukaran MoU itu berasaskan pembangunan tenaga kerja mahir antara KPT dan tiga syarikat teknologi terkemuka dunia, Micron Memory Malaysia Sdn. Bhd, Stellantis Gurun (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Inari Technology Sdn. Bhd.
Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, ia merupakan salah satu usaha untuk menangani isu ketidakpadanan antara kemahiran yang dimiliki oleh tenaga kerja sedia ada dan keperluan industri semasa.
“Dengan ini, kita boleh memastikan bakat graduan adalah responsif kepada keperluan pasaran kerja yang semakin berkembang.
“Kita juga perlu memanfaatkan tenaga kerja yang sedia ada untuk menyelaraskan proses pemadanan bakat, mengurangkan ketidakcekapan dan menghubungkan individu dengan peluang yang sejajar dengan kebolehan dan aspirasi mereka,” katanya dlam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz turut menekankan kepentingan MoU yang sama kepada Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.
“Ini merupakan elemen penting dalam ekosistem pembangunan industri dan kemajuan ekonomi negara serta memenuhi permintaan pesat industri MOU di antara MIDA untuk membangunkan modal insan yang berkemahiran tinggi, berfikiran kritis dan mampu adaptasi dengan perubahan iklim ekonomi global.
“Kerjasama strategik bersama KPT ini akan menjadi pemangkin kepada industri Malaysia untuk berdaya tahan di peringkat global,” ujarnya dalam kenyataan yang sama.
Antara bidang kerjasama yang dipersetujui adalah pembangunan dan penambahbaikan modul program, latihan serta pensijilan profesional, perkongsian pengetahuan dan kepakaran serta penyelidikan dan inovasi. – MalaysiaGazette