Penduduk Palestin meninggalkan Rafah di selatan Semenanjung Gaza berikutan arahan pemindahan oleh tentera Israel, tiba ke Khan Yunis pada 6 Mei 2024, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan pergerakan Hamas Palestin. Foto AFP

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sekali lagi memberi amaran bahawa sebarang operasi di Rafah akan meningkatkan bencana kemanusiaan dan pemindahan baharu bakal mengakibatkan kebuluran semakin teruk dan kehilangan lebih banyak nyawa.

“Memandangkan keadaan hidup yang sudah tidak menentu, dan sistem kesihatan yang musnah, sebarang operasi di Rafah akan meningkatkan bencana kemanusiaan dan menyebabkan operasi bantuan yang semakin rapuh lebih sukar,” kata jurucakap WHO, Margaret Harris kepada Anadolu.

Harris turut memberi amaran: “Gelombang perpindahan baharu akan memburukkan lagi kesesakan, seterusnya mengehadkan akses kepada makanan, air, kesihatan dan perkhidmatan sanitasi, yang membawa kepada peningkatan wabak penyakit, tahap kelaparan yang semakin teruk, dan kehilangan nyawa lebih banyak”.

Beliau menekankan betapa sukarnya untuk memastikan 33% daripada 36 hospital Gaza dan 30% daripada pusat penjagaan kesihatan utama beroperasi di tengah-tengah serangan berulang-ulang oleh Israel dan kekurangan bekalan makanan.

“Salah satu cara WHO membantu mengekalkan hospital dan pusat kesihatan adalah dengan membekalkan bahan api,” katanya sambil menambah semua bahan api yang memasuki Gaza pada masa ini datang melalui persimpangan Rafah,” ujarnya.

Tambah Harris, WHO dan rakan kongsi sedang berusaha untuk memulihkan perkhidmatan kesihatan, sebagai sebahagian daripada usaha kontingensi namun sistem kesihatan yang rosak tidak akan dapat mengatasi lonjakan dalam korban dan kematian yang akan ditimbulkan oleh pencerobohan Rafah.

Tentera Israel telah mengeluarkan arahan pemindahan segera kepada penduduk Palestin dan individu yang dipindahkan di selatan Rafah supaya berpindah segera.

Menurut radio tentera Israel, keputusan untuk memindahkan penduduk dari Rafah telah diambil lewat Ahad, sambil menambah kira-kira 100,000 orang awam yang dipercayai berada di kawasan itu dijangka dipindahkan.

Sejak 7 Oktober 2023, serangan Israel telah membunuh hampir 34,700 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, selain menyebabkan malapetaka kemanusiaan. – Agensi