Ayob Khan Mydin Pitchay ketika berucap merasmikan Seminar Jenayah Siber dan Penyalahgunaan Dadah di MITEC, hari ini.

KUALA LUMPUR – Salah guna ledakan teknologi dan akses Internet global secara meluas  telah mendatangkan pelbagai ancaman kepada kesejahteraan rakyat.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jenayah siber dan penyalahgunaan bahan psikoaktif baharu (NPS) membuka cabaran kepada negara disebabkan kesannya kepada masyarakat dan pembangunan ekonomi negara.

Ia kerana, perkembangan pesat teknologi telah meningkatkan aktiviti jenayah siber dan penyalahgunaan NPS di peringkat global selain peningkatan penggunaan peranti digital, encryption methods dan anonymity services memberi cabaran teknikal agak kompleks kepada agensi penguatkuasa undang-undang.

“Selain itu, kekangan dari segi perundangan turut menyukarkan lagi usaha agensi penguatkuasa undang-undang untuk mengambil tindakan dari segi undang-undang untuk mencegah jenayah siber dan penyalahgunaan dadah,” katanya semasa berucap merasmikan Seminar Jenayah Siber dan Penyalahgunaan Dadah di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Bagaimanapun, katanya, PDRM akan meneruskan peranan signifikan dalam melindungi komuniti dan menjamin keselamatan serantau dengan memperkukuhkan lagi usaha sama jitu dalam mencegah jenayah siber dan penyalahgunaan dadah bagi memperkasakan lagi langkah ke arah menjamin keselamatan negara.

Beliau percaya kerjasama kukuh dalam kalangan PDRM, agensi penguat kuasa undang-undang negara serantau, entiti kerajaan dan sektor swasta selain rakyat sangat penting dalam memerangi jenayah siber dan penyalahgunaan dadah.

“Pencegahan total jenayah siber dan penyalahgunaan bahan NPS mungkin menjadi sukar dan sangat mencabar tetapi sebagai pelindung undang-undang perlu lebih menyerlah dalam memerangi jenayah tersebut.

“Perubahan drastik dalam teknologi mendesak kita mempertingkatkan dan mengasak kemahiran sedia ada para pegawai keselamatan kita untuk memerangi dan menundukkan musuh kita dan marilah kita komited menghantar mesej jelas dan tegas kepada musuh  bahawa ‘awak boleh lari tetapi tidak boleh bersembunyi lama daripada undang-undang,” tambahnya.

Ayob Khan menambah, PDRM pada masa sama sedang libat urus dengan pelbagai pemegang taruh temasuk agensi kerajaan, agensi penguat kuasa undang-undang antarabangsa, sektor swasta dan ahli akademik yang akan bertukar idea, dan mengkordinasikan usaha dalam memerangi jenayah siber dan penyalahgunaan dadah.

PDRM juga mengendalikan kempen kesedaran dan program pendidikan secara berterusan untuk mendidik awam mengenai risiko bahaya siber dan jenayah siber sekaligus akan membantu awam untuk melindungi diri mereka dan ada masa yang sama menyumbang kepada persekitaran siber yang selamat. – MalaysiaGazette