Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, melawat Sudut Pemikiran Dato’ Dr. Siddiq Fadzil di Perpustakaan Raja Ashman Shah di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar. Foto, MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID.

KUALA KANGSAR – Kementerian Pendidikan (KPM), akan terus memperkasa garis panduan pengurusan salah laku seksual di sekolah bagi membendung kes rogol kanak-kanak bawah umur.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM memandang serius kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang memaklumkan kes rogol bawah umur meningkat secara konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan ini

Menurut Fadhlina, KPM lebih awal telah mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk kerjasama merentasi kementeriannya bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

“Kita telah melaksanakan program advokasi berkaitan gangguan seksual dan juga baru-baru ini kami telah adakan Konvensyen Perlindungan Murid Daripada Eksploitasi Seksual diperingkat KPM dan Menteri Undang-Undang.

“Selain itu juga kita turut mengadakan latihan termasuk penekanan advokasi kepada semua guru diperingkat guru-guru sukan seperti memperkenalkan kod sukan selamat,” katanya,

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan Seminar dan Sudut Pemikiran Dato’ Dr. Siddiq Fadzil di Dewan Serbaguna Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini, pada Selasa.

Turut hadir Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah; Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh dan Naib Canselor USAS, Datuk Dr. Wan Sabri Wan Yusof.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, kod sukan selamat memastikan pelajar sekolah dapat menjalankan pelbagai aktiviti tanpa sebarang gangguan seksual.

“Kita juga turut menegaskan semula tentang pengurusan anti ganguan seksual, proses, aduan dan tindakan yang mesti diambil dengan segera sebaik sahaja guru menerima aduan tentang perilaku berkenaan.

“Jadi kita mahukan anak-anak percaya mereka mempunyai tempat selamat membuat aduan dan seterusnya dilindungi,” katanya.

Fadhlina berkata, KPM memandang serius perkara itu dan tidak akan berkompromi terhadap setiap kes yang berlaku dan dilaporkan membabitkan murid sekolah.

“Saya sudah sebut sebelum ini jika berlaku dalam sekolah, ‘you touch you go’, itu memang pendekatan dan penegasan yang telah kita berikan sebelum ini,” katanya.

Terdahulu media melaporkan kes rogol membabitkan kanak-kanak bawah umur meningkat secara konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan dan peningkatan akses kepada pornografi di media sosial sebagai antara punca.

Menurut Mohd Shuhaily, sebagai contoh kes rogol beramai-ramai kanak-kanak berusia sembilan tahun di Kelantan pada tahun lalu, katanya polis tidak dapat meneruskan kes itu berikutan semua suspek berumur bawah 10 tahun menyebabkan mereka dikecualikan daripada tuduhan jenayah.

“Suspek semua berusia bawah 10 tahun tahun dan siasatan kami mendapati, mangsa bersetuju (melakukan hubungan seks) kerana mahu membayar balik hutang,” katanya. – MalaysiaGazette