Calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao (tengah) bercakap pada media program Ceramah Mega Perpaduan PRK N.06, di Bandar Utama Batang Kali, Selangor. Foto AIZAT

HULU SELANGOR – Pakatan Harapan (PH) menggunakan kepelbagaian bahasa sebagai strategi dalam menyampaikan mesej kepada pengundi supaya menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, 11 Mei ini.

Calonnya Pang Sock Tao, 31, berkata, beliau telah membuat banyak rakaman mengenai perkara itu bagi menyedarkan pengundi mengenai kepentingan untuk bersama dalam proses demokrasi.

“Mengenai peratusan keluar mengundi yang mungkin rendah daripada PRU atau PRN…dari segi strategi, kita akan menyampikan mesej kepentingan untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam pellbagai bahasa.

“Kita guna bahasa Melayu, Inggeris, bahasa Cina, Hokkien dan juga Hakka. Saya telah buat video pelbagai bahasa bagi menyampaikan mesej betapa penting PRK Kuala Kubu Baharu untuk orang tempatan menentukan arah pembangunan di sini.

“Itu salah satu strategi kita menarik pengundi supaya pulang ke kampung untuk mengundi,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Mengingati mendiang Lee Kee Hiong, di Galeri Seni Sastera di sini, malam ini.

Hadir sama pada program berkenaan Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang dan pimpinan PH.

Beliau menjawab pertanyaan wartawan berhubung peratusan keluar mengundi yang dijangka rendah pada PRK Kuala Kubu Baharu, kali ini.

Sebelum ini, terdapat andaian penganalisis mengenai peratusan keluar mengundi yang dijangka rendah susulan terkait isu semasa terutama dalam isu harga barang, kelembapan ekonomi serta isu berkaitan aspirasi Melayu serta Bumiputera.

Malah, ada juga yang mengatakan soal peluang dalam PRK Kuala Kubu Baharu lebih cenderung dinilai kepada soal petunjuk prestasi utama (KPI) berbanding pola pengundian mengikut kaum.

Dalam pada itu, Sock Tau berkata, pengundi harus melihat faktor semasa di Kuala Kubu Baharu yang perlu dirancakkan demi menjamin kepentingan bersama.

“Kita nak pembangunan, merancak ekonomi tempatan dan menaik taraf kemudahan awam.

“…dan yang paling penting, menjamin kebajikan rakyat dengan dasar dan inisiatif yang sedia ada daripada kerajaan negeri Selangor,” katanya. – MalaysiaGazette