Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung bicara saman sivil SRC ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Kerugian yang dialami oleh syarikat dana strategik SRC International Sdn Bhd (SRC) bukan disebabkan oleh lembaga pengarahnya yang melanggar kewajipan mereka meluluskan pelaburan bernilai RM3.6 bilion.

Itu antara dakwaan oleh bekas Pengarah SRC, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar yang merupakan pihak ketiga dalam tuntutan saman difailkan SRC ketika ini.

Dalam keterangan saksinya, beliau berkata, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bertindak meluluskan resolusi pemegang saham SRC selain mengarahkan syarikat pelaburan itu untuk memindahkan RM3.6 bilion kepada SRC BVI sebagai salah satu rancangan pelaburan syarikat.

Untuk makluman, SRC BVI adalah anak syarikat SRC yang bekerjasama dengan syarikat dari Abu Dhabi, Aabar BVI bagi aktiviti pelaburan dalam sektor tenaga dan sumber di luar negara.

Saksi itu juga mendedahkan keputusan kerjasama dengan SRC BVI itu ialah kehendak pemegang saham SRC iaitu Najib.

“Pihak pengurusan SRC tidak mendapat nasihat lembaga (pengarah) kerana mereka berkomunikasi terus dengan Penasihat Emiratus (Najib) berkaitan pencairan pelaburan.

“Sekiranya pemegang saham mengikut nasihat lembaga pengarah, saya amat percaya SRC tidak sepatutnya mengalami kerugian atau sekurang-kurangnya berupaya mengurangkan kerugian mereka jika ada.

“Tindakan Najib salahkan saya dan ahli lembaga pengarah tidak berasas sama sekali,” katanya ketika prosiding kes saman yang dikemukakan SRC bernilai AS$1.18 bilion terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil.

Kata Che Abdullah lagi, beliau tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk menolak keputusan yang telah dibuat oleh Najib ketika itu.

SRC ketika ini sedang menyaman Najib yang didakwa telah melakukan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa bagi mendapatkan manfat secara peribadi menggunakan dana syarikat tersebut.

Najib ketika ini sedang menjalani hukuman penjara sejak Ogos 2022 selepas didapati mahkamah menyeleweng dana SRC sebanyak RM42 juta.

Perbicaraan bersambung esok dihadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin. – MalaysiaGazette