KUANTAN – Timbalan Presiden Pas kesal kerana kerajaan negeri enggan untuk mengadakan siaran langsung Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada kali ini.
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka menganggap ia amat rugi kerana kerajaan negeri tidak dapat berkongsi kejayaan yang dilakukan kepada rakyat jelata di negeri itu.
”Rugilah apa yang daripada ADUN Tioman kongsikan tadi tidak dapat didengari dan juga wakil-wakil lain. Hari ini, sebenarnya siaran langsung sudah menjadi normal, orang jual ikan pun buat siaran langsung tapi kita Sidang DUN tidak boleh buat siaran langsung,” katanya ketika sesi perbahasan hari kedua Sidang DUN Pahang hari ini.
Tambah Tuan Ibrahim, seharusnya pihak kerajaan negeri lebih rasional berhubung isu berkenaan dan beliau hanya menyampaikan hasrat beberapa pihak termasuk pihak media.
Kenyataan itu reaksi balas kepada kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menarik balik siaran langsung akibat provokasi oleh pihak pembangkang.
”Saya tarik balik sebab nanti Perikatan Nasional (PN) akan claim balik. PN kata sebab kami (PN) desaklah maka Sidang DUN buat live.
“Sebenarnya kami dah bersedia anytime untuk mengadakan live, tetapi disebabkan cabaran melampau oleh PN maka ditarik balik,” kata Wan Rosdy sebelum itu.
Selain itu, Wan Rosdy turut menjawab mengatakan sebahagian pengamal media bersetuju tindakannya supaya tidak menyiarkan sidang dewan secara langsung.
Kekecohan itu menyebabkan Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin bersuara bagi menenangkan kedua-dua pihak.
Jelasnya, sidang DUN Pahang pada Ogos depan dijangka diadakan secara siaran langsung.
“Keputusan saya bukanlah disebabkan oleh provokasi tetapi kita telah berbincang dengan Menteri Besar dan kerajaan dan saya mencadangkan (siaran langsung) dan mereka sudah bersetuju.
“Selepas ini nanti Sidang DUN pada Ogos ini akan ada siaran langsung. Jadi jangan ada yang ponteng,” katanya. – MalaysiaGazette